Mereka bukan sahaja mula menonjolkan diri dengan menyertai pameran yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak, malah turut mengetengahkan kreativiti masing-masing dengan karya yang lebih segar dan bersifat kontemporari.

Idea yang dianggap unik turut membolehkan mereka diangkat sebagai pemenang dalam pelbagai anugerah seni.

Sebagai menghargai dan menyanjung kreativiti mereka, Curate Hentry Butcher dengan kerjasama Galeri Prima telah menganjurkan pameran seni Young Contempo Showcase II yang menghimpunkan 24 artis seni muda tempatan yang pernah memenangi anugerah sepanjang mereka berkarya.

Pameran yang berlangsung selama sebulan bermula 26 Disember 2017 hingga 26 Januari lalu itu menampilkan 60 karya merangkumi pelbagai subjek dan medium.

Antara artis seni yang dipilih bagi menjayakan pameran tersebut ialah Ajim Juxta, Anisa Abdullah, Azizi Latif, Azrul Azrai, Cheong Tuck Wai, Chok Yue Zan, Faizal Suhif, Gan Tee Sheng, Haslin Ismail, Hug Yin Wan dan Ismail Awi.

Turut terlibat ialah Ivnn Tang, Khairul Izham, Leow Xu Jia, Louise Low, Ruzzeki Harris, Sabihis Pandi, Mohd. Safuan Nasiar, Shafiq Nordin, Shaliza Juanna, Tiong Chai Heing, Trixie Tan Lu Man, Wan Amy Nazira dan Yim Yen Sum.

Isu Palestin

Ismail, 31, ketika ditemui berkata, dia mengetengahkan sebuah karya yang memaparkan isu berkaitan Palestin yang menjadi isu global dan belum menemui penyelesaian.

“Dalam karya ini, saya menggambarkan isu Palestin menerusi tiga ekor gorila yang sedang menikmati hidangan dalam keadaan bersuka ria di habitatnya.

“Haiwan itu seolah-olah tidak menghiraukan sedikitpun kejadian kucar-kacir di kawasan bandar yang terletak bersebelahan hutan tersebut sedangkan kedua-dua kawasan tersebut mempunyai kaitan dan kepentingan antara satu sama lain,” katanya yang merupakan graduan Ijazah Seni Halus daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Jelas Ismail lagi, dia dijemput untuk menyertai pameran tersebut selepas pernah memenangi anugerah pada Pertandingan Lukisan Citra Terengganu 2010 yang menyaksikan dia menggondol tempat pertama.

Seorang lagi pelukis, Mohd. Safuan, 25, pula berkata, dia pernah memenangi tiga anugerah pada tiga pertandingan berbeza yang pernah disertainya pada tahun 2015 dan 2016.

“Pada tahun 2015, saya mendapat pingat perak pada pertandingan UOB Painting of the Year, manakala pada 2016 saya mendapat tempat ketiga dan sagu hati dalam dua pertandingan yang lain,” katanya

Dia yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, UiTM itu berkata, dia gemar menjadikan figura sebagai subjek dalam setiap lukisannya dengan kebanyakan karya dihasilkan menggunakan medium cat minyak.

Dalam pada itu, kurator pameran tersebut, Sim Polenn berkata, pameran seni Young Contempo pernah diadakan buat pertama kali pada Jun 2016 di Wisma MCA, Kuala Lumpur dengan menampilkan 12 artis.

“Pada kali ini, kita memilih 24 artis untuk memberi lebih banyak peluang kepada artis muda untuk mempamerkan kreativiti menerusi karya masing-masing.

“Artis seni yang memenangi anugerah sememangnya mempunyai ciri-ciri tertentu dalam karya mereka dan itulah yang kami ingin tampilkan menerusi pameran ini,” katanya.