Detik indah itu sudah pasti merupakan hadiah bernilai untuk menjadi sebahagian daripada kenangan manis dalam hidup.

Bagi meraikan perayaan Krismas yang bakal tiba pada 25 Disember ini, Hotel Sunway Putra menyediakan seleksi makanan enak untuk dinikmati seisi keluarga.

Menurut Cef Eksekutif Hotel Sunway Putra, Cef Rossham Rusli, terdapat lebih 100 juadah menarik yang disediakan khas sempena perayaan Krismas pada kali ini.

“Saya menggunakan gabungan resipi tempatan dan luar negara untuk menghasilkan menu ini bagi memberikan cita rasa Malaysia bagi setiap suapan.

“Ini berikutan sambutan dan maklum balas yang diterima sebelum ini daripada pelanggan.

“Mereka juga mahukan sentuhan rasa tempatan dalam hidangan ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara menu istimewa yang akan dihidangkan kepada para pengunjung pada malam 24 Disember ini ialah salmon salai bersama kiwi dan mayonis, serta udang koktel kalipso sebagai pembuka selera.

Hidangan utama yang perlu dicuba ialah stik daging medalion bersama sos berkrim lada hijau Sarawak, rusuk kambing panggang, udang harimau goreng bersama mentega dan bawang putih, itik panggang dengan ceri dan pelbagai seleksi sosej.

Sentuhan rasa Asia

Menjadi juadah signatur ialah ayam belanda panggang dan isi daging gulung madu yang disediakan bersama pelbagai sos seperti lada hitam, cendawan, dijon mustard dan kranberi.

Ujar Rossham,bagi memberi sentuhan rasa Asia, pihaknya turut menyediakan menu seperti ayam tanduri, nasi itik panggang, ayam berlada, brokoli sos Cina dan udang karang masak bersama bawang putih, mentega serta pasli

Tidak ketinggalan aneka jenis kek sebagai pencuci mulut yang bukan sahaja indah dipandang tetapi sangat memukau selera seperti kek buah, keju Oreo dan coklat cair.

Selain itu, turut dihidangkan pencuci mulut seperti puding sos vanila, makarun dan coklat brownies.

Di samping santapan enak ini, pengunjung turut dipersembahkan dengan dekorasi makanan yang sungguh indah bagi membangkitkan kemeriahan perayaan Krismas.

Usah risau, Coffee House boleh memuatkan lebih 350 orang pada satu-satu masa dan pelanggan boleh membuat tempahan atau berkunjung terus ke sana.

Hotel Sunway Putra menawarkan harga yang istimewa iaitu RM128 seorang bagi dewasa, kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun pula perlu membayar RM64 seorang dan bagi enam tahun ke bawah boleh makan secara percuma.