Sejak dibuka pada Oktober 2010, gerai yang terletak di Jalan Pantai Sura Hujung itu hanya menawarkan rangkaian masakan Barat untuk dinikmati oleh para pelanggan.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati roti John Mama dan roti John Papa dengan tambahan keju, kepingan daging lembu (bacon) serta sayur-sayuran pada harga antara RM5 hingga RM8.

Pengasas Hola West, Siti Noraishah Abdullah, 42, berkata, dia bersama suaminya, Azmi Mohamad, mula berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual aneka sandwic, roti john serta burger sekitar tahun 2007 di hadapan rumah mereka sebelum mula mencari gerai bagi mengembangkan perniagaan itu.

“Saya memang minat memasak tetapi lebih tertumpu kepada menu hidangan Barat kerana ketika itu daerah Dungun tidak ada satu pun gerai yang menawarkan hidangan seumpamanya.

“Selepas mendapat tapak gerai yang disewa sekarang, saya mula berkongsi dan mengajar suami cara-cara untuk menyediakan hidangan Barat kerana saya terikat dengan jadual kerja yang padat. Tanggungjawab menguruskan kedai diberikan kepada suami sepenuhnya.

“Hola West merupakan cetusan idea saya bersama suami dan ia juga gerai pertama yang menjual makanan Barat di daerah Dungun,” kata ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sambutan

Roti john, burger bakar, chicken chop, pasta dan fish and chips merupakan antara hidangan terawal yang disediakan oleh pasangan suami isteri itu untuk disajikan kepada para pengunjung sebelum menambah satu per satu menu baharu.

Katanya, sambutan pada mulanya agak kurang memberangsangkan kerana penduduk di sekitar daerah itu lebih gemar menikmati masakan asli Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor berbanding mencuba hidangan lain.

Tambah Siti Noraishah yang juga merupakan seorang pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan di UiTM Dungun, bahan-bahan utama seperti daging lembu dan kambing dihantar oleh pembekal dari ibu negara demi menjaga kualiti.

Ini kerana dia mahu menyajikan makanan yang rupa dan rasanya setanding dengan restoran-restoran mewah.

“Hola West menawarkan kelainan kepada para pelanggan kerana kami menukar menu istimewa seperti beef short ribs, daging rusuk, ikan salmon, tiram atau itik setiap hari bergantung kepada stok.

“Menu yang paling mendapat sambutan di Hola West ialah lamb grill dengan sos yang dibuat khas menggunakan resipi suami kerana hidangan itu boleh terjual sehingga 20 kilogram seminggu,” kata anak kelahiran Ampang, Kuala Lumpur itu.

Siti Noraishah berkata, terdapat 70 jenis minuman mocktail di Hola West yang dicipta sendiri berasaskan pati buah serta campuran buah-buah tempatan dan import pada harga serendah RM5.

Menu di Hola West pula bermula dari RM5 hingga RM30 dan ia dibuka dari Ahad sehingga Khamis manakala Jumaat dan Sabtu termasuk cuti umum ditutup bagi membolehkan para pekerja berehat.

Siti Noraishah menambah, Hola West turut mengambil tempahan khas seperti majlis ulang tahun perkahwinan atau sambutan hari lahir dengan pakej istimewa seperti kek, belon serta bunga berdasarkan tema yang diminta oleh pelanggan.