Masakan Asia Barat dikendalikan oleh Cef Sabri Hassan manakala masakan Pantai Timur oleh cef selebriti, Cef Zam.

Iftar berlangsung selama empat hari itu diadakan di Seksyen 26, Shah Alam, Selangor.

Cef Sabri akan menyediakan masakan pada 24 dan 25 Mei manakala Cef Zam akan menyediakan sajian pada 31 Mei dan 1 Jun depan.

Kolaborasi dua cef itu dimeriahkan lagi dengan cabutan bertuah pada 1 Jun selain penglibatan empat selebriti iaitu Wani Kayrie, Siti Elizad, Noryn Aziz, Haiza dan Elyana.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazri Abdul Karim, Neujina Events atau dikenali D’neujina sebelum ini bakal menyajikan lebih 50 jenis makanan bufet termasuk sudut masakan signatur oleh cef pada setiap meja pelanggan sebagai pembuka selera iftar.

“Pemilihan cef dibuat berdasarkan kemahiran, pengalaman, mutu masakan dan kreativiti mereka dalam penyediaan makanan berkelas lima bintang.

“Bangunan tiga tingkat ini turut menyediakan ruangan solat, tempat letak kereta percuma serta boleh menampung hampir 320 pelanggan” katanya ketika ditemui K2 di Shah Alam baru-baru ini.

Antara menu menarik oleh Cef Sabri ialah kambing Kashmiri, ayam panggang Maghribi, nasi mandi, samosa Zam Zam Ala Kazam, martabak Turki, kambing kuzi, makaroni dan cara Arab. Cef Zam pula menyediakan nasi dagang, kerutuk ayam, ketupat sotong, gulai ikan tongkol, pulut lepe, akok, nasi kuning, sate ikan, mi rebus dan rendang dendeng.

Menu-menu dihidangkan turut meliputi pembuka selera dan pencuci mulut.