Secara umumnya, dalam mendepani dunia moden tanpa sempadan masa kini, adalah sangat penting bagi seseorang individu itu untuk menguasai bahasa Inggeris jika mahu dikategorikan sebagai berdaya saing, berilmu dan berketrampilan.

Bukan isu lapuk mahupun baharu, masih ramai yang mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang sangat rendah hingga sedikit sebanyak turut menjejaskan produktiviti negara.

Menurut kajian portal carian kerja popular, Jobstreet Malaysia baru-baru ini, hampir 72 peratus permohonan pekerjaan graduan dengan ijazah sarjana muda di negara ini ditolak oleh majikan angkara permintaan gaji sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.

Walaupun dilihat cukup relevan untuk menampung kos sara hidup masa kini, antara punca utama permohonan ditolak berpunca daripada penguasaan bahasa Inggeris yang sangat lemah.

Gilap kemahiran

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan menerusi satu portal pernah berkata, bahawa rakyat negara ini kebanyakan menganggur ekoran tidak berkelayakan menjawat jawatan yang memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris dalam urusan kerja dan komunikasi.

Apakah puncanya masalah ini berlaku sedangkan negara kita boleh dikatakan memiliki antara universiti dengan infrastruktur terbaik di dunia?

Apakah yang menghalang pelajar daripada menjadi rakyat yang celik mindanya, berkelas pertama karakternya serta kompeten dalam kerjaya profesional dan kepakaran tertentu sehingga lebih 26,000 orang graduan menganggur saban tahun?

Pensyarah Linguistik Terapan dan Literasi, Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Hazita Azman berpendapat, perkara ini terjadi kerana penerapan bahasa Inggeris yang kurang terutamanya pada peringkat sekolah.

“Di peringkat universiti sekurang-kurangnya pelajar sudah menguasai lebih 60 peratus bahasa Inggeris. Bermaksud seharusnya pada peringkat ini (universiti) mereka hanya perlu menggilap kemahiran komunikasi dan mempraktikkan secara lebih baik.

“Namun, masalahnya ialah, lebih 60 peratus tidak dapat menggilap kemahiran tersebut kerana mereka baru hendak memulakan langkah mempelajari bahasa Inggeris di peringkat universiti, ekoran kurangnya penekanan bahasa tersebut di sekolah,” katanya ketika ditemui di Kolokium Kebangsaan Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (Melta) yang diadakan di Dewan Komuniti Sri Petaling, di ibu negara baru-baru ini.

Sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan terutamanya di bawah pimpinan kerajaan baharu dalam membantu mewujudkan persekitaran mesra bahasa Inggeris bermula dari sekolah. “Kementerian perlu melaksanakan sesuatu. Misalnya, satu langkah awal yang mungkin boleh kita lakukan ialah melancarkan kempen jangan politikkan isu bahasa Inggeris sebagai menghina bahasa kebangsaan dan sebagainya. Tidak mungkin kita lupakan bahasa ibunda hanya kerana belajar bahasa Inggeris.

“Bagi sesetengah pihak, ia mungkin ‘modal’ politik, tetapi bagaimana dengan anak-anak kita di sekolah jika kita tidak realistik terhadap keperluan masa depan mereka dalam karier, kelangsungan hidup dan sebagainya?,” tegasnya.

Politik bahasa

Bersetuju dengan Hazita, Presiden Melta, Prof. Dr. Ganakumaran Subramaniam berkata, pihaknya mahu semua pihak mengambil perhatian yang serius berkenaan persekitaran dan kemahiran komunikasi bahasa Inggeris dalam masyarakat.

Kebanyakan mereka yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana latar belakang keluarga berpelajaran serta pembelajaran sendiri dan bukannya dari sekolah.

“Ramai juga pelajar yang berminat dan mulai sedar tentang kepentingan bahasa ini, namun, apabila mereka cuba berkomunikasi, ada pula rakan yang melabel mereka sebagai ‘sombong’, ‘orang kaya’ dan sebagainya.

“Secara logiknya, siapa yang membawa ideologi sebegitu kepada anak-anak jika bukan kerana ‘politik’ bahasa yang banyak digunakan oleh ahli politik dan orang lebih dewasa? Hentikanlah, ia merosakkan pembinaan kemahiran anak kita sendiri,” luahnya kesal.

Sama seperti Hazita, Ganakumaran berharap, kementerian di bawah Dr. Maszlee Malik dapat merangka dasar pendidikan negara yang lebih holistik dalam memperkasa bahasa Inggeris di sekolah, di samping memartabatkan bahasa kebangsaan kerana baginya, tahap literasi Inggeris rakyat kita berada pada tahap yang membimbangkan.