Dikurniakan dengan bentuk muka bumi yang unik kerana terletak di kawasan tanah tinggi, Bario adalah satu daerah yang menghasilkan beras, nanas dan garam bukit yang terbaik.

Walaupun terletak di kawasan pedalaman, siapa menyangka penduduk kawasan itu yang majoritinya terdiri daripada kaum Kelabit yang dahulunya dikenali sebagai pahlawan serta pemburu berani, kini amat pemurah dengan sapaan mesra dan senyuman.

Kemesraan dan kesantunan masyarakat pribumi itu jelas dirasai apabila pihak media bersama rombongan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) yang menjejakkan kaki ke sana dirai dalam satu sambutan yang cukup kaya dengan tradisi.

Sebaik tiba di padang terbang pelepasan dan pendaratan singkat (STOLport) milik MAHB itu, penghuninya tidak putus menguntumkan senyuman bagi menyambut ketibaan tetamu selain memberikan minuman dalam buah nanas untuk terus diminum menggunakan penyedut minuman.

Menurut Stanley Isaac Ibuh yang merupakan seorang pesara guru, masyarakat Kelabit amat menghargai tetamu yang berkunjung ke Bario kerana untuk masuk ke kawasan itu bukanlah mudah.

Beliau yang juga anak kelahiran Bario berkata, perjalanan darat dari Miri ke Bario mengambil masa selama 12 hingga ke 15 jam bergantung pada pemanduan, sekali gus menyebabkan kawasan itu hanya didiami penduduk asal.

Jelas warga emas berusia 70 tahun itu, Bario mula menjadi tumpuan selepas STOLport pertama dibina pada tahun 1996 melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MAHB.

“Sektor pelancongan berkembang pesat dan pada masa yang sama, taraf ekonomi turut meningkat di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menceritakan tentang Bario, Stanley memberitahu, Bario adalah gabungan dua perkataan berbeza iaitu Ba dan Rio. Ba membawa maksud sawah manakala Rio adalah angin.

Pertanian organik

Katanya, terletak di kawasan tanah tinggi yang luas pada kedudukan kira-kira 1,000 meter dari aras laut, penduduk kampung masih mengamalkan pertanian secara organik dan tradisi iaitu masih menggunakan kerbau untuk membajak sawah.

Stanley menambah, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa beras Bario mempunyai rasa berbeza dengan beras yang ditanam di tempat lain kerana faktor cuaca dan bentuk muka bumi yang tidak sama.

“Beras Bario mempunyai rahsia tersendiri kerana sumber air yang mengairi sawah padi tersebut berasal dari kawasan pergunungan.

“Malah, beras itu dijual pada harga RM38 sekilogram dan boleh menjadi lebih mahal mengikut gred yang dihasilkan sehingga melebihi RM50.

“Selain beras Bario, kawasan ini juga terkenal dengan penghasilan nanas yang ditanam di kawasan berbukit selama lapan bulan sebelum tuaian pertama.

“Nanas selalunya dihidangkan sebagai pencuci mulut selepas makan dan dalam masakan, namun kini nanas dijadikan jem untuk dijual ke luar Bario,” ujarnya.

Telaga air masin Main Kerambut di Kampung Pa Umor pula menjadi lubuk rezeki kepada masyarakat setempat.

Ini kerana beberapa keluarga mengambil giliran pada setiap minggu untuk mengusahakan garam berkenaan sebelum menjualnya kepada penduduk Bario dan Miri.

“Garam itu dikatakan memiliki pelbagai khasiat tersendiri berbanding garam biasa dan digunakan secara tradisional bagi mengubati penyakit beguk,” ujarnya.

Bario yang mempu­nyai keluasan 4,228 kilometer persegi dihuni oleh 7,513 penduduk dari 47 buah kampung terdiri daripada suku kaum Kelabit, Penan, Saban dan Kenyah.