Marina
MARINA

Langkah berkenaan adalah penting dalam industri halal bertujuan untuk memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna adalah halal serta sentiasa terpelihara kebersihannya.

Ketua Latihan dan Perundingan DH Events Sdn. Bhd. (DH Events), Marina Muhamad berkata, mengikut syarat dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), setiap pemegang atau pemohon sijil halal di bawah kategori sederhana hingga multinasional seperti pengilang produk, hotel, restoran dan penyedia logistik perlu melaksanakan Sistem Pengurusan Jaminan Halal (HAS).

Menurutnya lagi, bagi industri di bawah kategori kecil dan mikro, HAS bukanlah salah satu syarat dalam pensijilan halal Malaysia.

Walau bagaimanapun, industri di bawah kategori ini digalakkan untuk melaksanakan HAS sebagai satu nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan.

Pelaksanaan ini akan memudahkan industri memohon pembaharuan sijil halal sekiranya kategori mereka meningkat kepada sederhana kelak. “Konsep yang diaplikasikan dalam sistem tersebut ialah menyingkirkan elemen tidak halal di sepanjang rantaian bekalan proses berlaku termasuklah mengenal pasti dan menyingkirkan elemen tersebut sebelum proses itu dijalankan,” katanya kepada Kosmo! di ibu pejabat DH Events, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Marina menambah, sekiranya di sepanjang proses terbabit tercetusnya kehadiran elemen tidak halal yang tidak boleh dielakkan, maka kaedah yang digunakan untuk tujuan penyingkiran elemen tersebut juga perlu didokumentasikan dalam pelaksanaan HAS.

“Sistem berkenaan mempunyai beberapa kriteria khas termasuklah polisi halal, manual HAS, jawatankuasa halal dalaman, audit, latihan selain daripada kajian semula sistem pengurusan tersebut.

“Sebagai contoh, syarikat perlu menubuhkan satu jawatankuasa halal dalaman yang dianggotai Eksekutif Halal bagi memantau proses di dalam syarikat seterusnya memastikan ciri halal dan kebersihan terus terpelihara,” ujarnya.

Dalam pada itu, prinsip yang digunakan dalam HAS adalah mengenal pasti titik kritikal halal (HCP) dalam sesuatu proses pengeluaran produk mahupun perkhidmatan.

“Dengan mengenal pasti HCP ini, pemain industri perlu mengambil langkah kawalan sebelum ketidakpatuhan itu memasuki sistem. Sekiranya elemen ketidakpatuhan masih berlaku, tindakan pembetulan seperti kuarantin produk perlu diambil,” jelasnya.

Sementara itu Marina memberitahu, DH Events akan menganjurkan Bengkel Penyediaan Manual Sistem Pengurusan Jaminan Halal bagi pemain dalam industri halal.

“Hanya 25 tempat ditawarkan bagi bengkel yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Ogos 2018. Hantarkan penyertaan anda sebelum 20 Ogos ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh menghubungi Amiriah, Fatin dan Zul di talian 03-2171 1128 atau e-mel ke [email protected], [email protected],[email protected] [email protected]