Nikmat sesebuah kehidupan mungkin tidak ada makna jika dua elemen utama itu tidak wujud dalam masyarakat tersebut.

Oleh yang demikian, adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap pemerintah di negara yang terlibat untuk memastikan aspek keselamatan dan keharmonian dapat dikekalkan sepanjang masa agar masyarakat di negara tersebut mampu hidup dalam keadaan yang selesa serta harmoni.

Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat juga tidak terlepas daripada senario yang sedemikian.

Justeru, pihak kerajaan telah memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan aspek keselamatan dan keharmonian sentiasa terjamin sepanjang masa.

Untuk memastikan keadaan sedemikian berterusan pada masa akan datang, komitmen dan usaha berterusan daripada pelbagai pihak amat diperlukan agar keselamatan serta keharmonian yang telah dikecapi sejak 61 tahun lalu dapat diteruskan.

Antara pihak dan agensi yang terlibat secara langsung dalam memastikan keselamatan dan keharmonian terus bersemarak ialah anggota beruniform terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Terima kasih

Kesemua agensi tersebut memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan negara tercinta ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera sepanjang masa.

Tanpa bantuan dan kerjasama yang berterusan daripada anggota beruniform tersebut, pastinya rakyat di negara ini tidak mampu untuk menikmati kedamaian serta keselamatan sepertimana yang dirasai sekarang ini.

Oleh yang sedemikian, penghormatan dan penghargaan yang tinggi wajarlah diberikan kepada anggota beruniform agar mampu memberikan semangat serta motivasi kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilaksanakan oleh setiap ahli masyarakat sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada mereka, antaranya mengucapkan terima kasih, memberi hadiah dan membunyikan hon.

Walaupun ucapan terima kasih ini sangat mudah untuk diucapkan, ia masih belum menjadi budaya dalam kalangan masyarakat untuk dipraktikkan terutamanya kepada anggota beruniform.

Jasa dan tanggungjawab mereka dalam menjaga keselamatan dan keharmonian negara memang tidak dapat dipertikaikan lagi.

Kesemua agensi tersebut berjaya memberi perkhidmatan yang sangat cemerlang untuk memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat serta harmoni sepanjang masa.

Sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada mereka, setiap ahli masyarakat perlu mengucapkan terima kasih setiap kali bertemu dan berjumpa mereka tanpa mengira tempat serta masa.

Sudah pasti mereka akan gembira setiap kali menerima ucapan terima kasih daripada ahli masyarakat apabila mereka bertemu dan berjumpa antara satu sama lain.

Budaya sebegini pasti mampu untuk meningkatkan motivasi dan kualiti setiap anggota beruniform dalam melaksanakan tugas seharian mereka.

Ahli masyarakat juga boleh menyampaikan ucapan penghargaan dan penghormatan kepada mereka melalui pemberian cenderamata sempena hari-hari tertentu seperti Hari Pahlawan, Hari Angkatan Tentera dan Hari Polis atau pada hari-hari lain yang difikirkan sesuai.

Pemberian cenderamata seperti hamper atau sekeping kad sudah mampu untuk membuatkan mereka berasa dihargai.

Tindakan yang sebegini walaupun nampaknya mudah dan kecil, ia mampu memberi suntikan semangat yang tinggi sekiranya setiap ahli masyarakat mampu melaksanakannya secara berterusan.

Rasa hormat

Kaedah lain yang boleh dilakukan sepertimana yang menjadi amalan di beberapa buah negara di dunia ialah dengan cara membunyikan hon kereta atau motosikal apabila bertemu dengan anggota beruniform ini.

Selain daripada meningkatkan semangat dalam kalangan anggota yang terlibat, tindakan seperti ini juga mampu mencetus rasa hormat masyarakat kepada setiap anggota beruniform.

Aspek keselamatan dan keharmonian merupakan dua komponen yang menjadi fokus utama kepada setiap buah negara.

Kedua-dua elemen ini sangat penting kerana ia mampu untuk menjadikan kehidupan rakyat di negara tersebut berada dalam keadaan aman serta tenteram.

Malaysia juga tidak terkecuali dalam memastikan aspek keselamatan dan keharmonian menjadi agenda utama negara.

Pelbagai pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan agar keselamatan dan keharmonian negara terus berkekalan sepanjang masa.

Tanpa bantuan dan sokongan padu daripada mereka khususnya setiap anggota beruniform, kedamaian dan ketenteraman yang dinikmati oleh rakyat pada hari ini pasti sukar untuk dicapai.

Justeru, menjadi tanggungjawab masyarakat Malaysia untuk menghargai jasa dan pengorbanan itu agar mereka terus bersemangat serta motivasi untuk meneruskan tugas cemerlang kepada negara tercinta ini.