Penulis masih menahan air mata semasa menulis artikel ini. Begitu besar pengorbanan mereka dan begitu besar kehilangan untuk Malaysia.

Sekalung takziah juga kepada keluarga remaja 17 tahun yang lemas dalam lombong berkenaan. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Bertabahlah semua ahli keluarga. Doa kami sentiasa bersama anda dan kesemua mereka yang terkorban dalam tragedi hitam itu.

Berkhidmat dalam badan beruniform seperti bomba memerlukan keberanian, disiplin, cergas, kuat, cekap, mahir, waspada, sentiasa bersiap sedia, semangat, tanggungjawab dan keprihatinan yang luar biasa.

Penulis percaya ciri-ciri itu telah ditunjukkan oleh kesemua mereka yang terlibat dalam operasi mencari serta menyelamat ini. Syabas dan teruskan sumbangan ikhlas anda kepada bumi tercinta ini.

Bagaimanapun, ketika ramai yang masih bersedih dan terkejut dengan pemergian wira penyelamat negara ini, ada juga individu yang mengambil kesempatan menyiarkan tulisan-tulisan yang mengguris perasaan di laman maya. Harus diingatkan, tiada siapa mahu kejadian seperti ini akan berlaku.

Sensitiviti

Apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Janganlah menulis sesuatu yang boleh melukakan lagi perasaan ahli keluarga mangsa, anggota bomba yang lain dan jabatan bomba secara keseluruhannya. Jangan kerana anda boleh menulis secara bebas dalam halaman maya, anda tulis apa sahaja.

Setiap penulis harus mempunyai etika penulisan yang tinggi. Penulisan yang beretika seharusnya disulami dengan fakta, bukti, penyelidikan, rujukan yang tepat dan benar. Penulisan tanpa unsur-unsur berkenaan merupakan penulisan yang beremosi dan tidak membina minda.

Penulisan yang tidak beretika ini pula seolah-oleh menjadi satu budaya dalam kalangan rakyat Malaysia. Apa sahaja kejadian dan isu yang berlaku di negara ini akan diulas secara tidak beretika oleh segelintir rakyat di negara ini. Pasti akan ada penulisan yang berbaur penghinaan, perkauman, tidak puas hati dan kepolitikan yang keterlaluan.

Seharusnya rakyat di negara ini menggunakan kebebasan untuk bersuara yang diberikan dengan sebaiknya untuk membina perpaduan serta kemajuan negara dan bukannya menjadi batu api untuk menuju jalan kehancuran.

Komunikasi dua hala yang dinikmati oleh kita dalam dunia digital ini tidak seharusnya disalahgunakan untuk kerosakan. Berkomunikasilah untuk memberikan maklum balas yang berkualiti, berinformasi serta bermotivasi dan bukan sebaliknya.

Jangan menulis sesuatu yang sia-sia. Setiap penulis harus mempunyai etika penulisan dalam diri sendiri. Seperti biasa jika tidak ada sesuatu yang baik untuk diperkatakan, lebih baik berdiam diri. Jangan jadi netizen yang hanya pandai mengecam.

Patah tumbuh lagi, hilang perlu berganti. Perginya enam wira negara harus diganti dengan 60, malah 600 wira yang lain.

Cukuplah pemergian mereka ditangisi. Sekarang merupakan masa terbaik kita menggalakkan dan melatih lebih ramai wira berkhidmat untuk negara kita. Negara kita memerlukan lebih ramai rakyat yang bersemangat seperti enam orang anggota bomba berkenaan.

Belia-belia di luar sana, anggaplah pemergian enam anggota bomba ini sebagai satu cabaran dan sahutan untuk meneruskan perjuangan mereka.

Ini merupakan salah satu cara untuk kita menunjukkan penghargaan dan penghormatan di atas pengorbanan mereka.

Penulis juga ingin berpesan kepada semua warga pekerja di luar sana, dalam apa sahaja bidang, jalankan amanah anda dengan penuh tanggungjawab tetapi pada masa yang sama, tolong hati-hati dan jaga keselamatan diri anda selalu.

Rakyat negara ini tidak mahu lagi menangis kerana kehilangan lebih ramai pekerja yang berwibawa seperti anda.

Damailah semua wira negara di sana. Kami percaya anda berada di tempat yang lebih selamat dan anda telah menjalankan amanat anda dengan baik.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Anda bakal menjadi inspirasi ramai belia di negara ini. Terima kasih atas sumbangan anda selama ini.