Begitupun, kekangan waktu, jalan raya sesak, sukar mencari parkir kenderaan atau sukar meninggalkan rutin seharian kadangkala mendatangkan kesulitan untuk mendapatkan kek idaman.

Memahami kehendak pengguna, portal pesanan kek online, Eat Cake Today menawarkan lebih 400 jenis menu. Antaranya termasuklah biskut, brownie, kek keju, kek tanpa telur, kek fondant krim mentega, kek tanpa gluten, kek buku, kek krep, pai, tat, kek vegan tanpa susu, kek jeli selain kek tempahan khusus.

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Eat Cake Today, BC Ang menjelaskan, seramai 40 pembuat kek meliputi barisan bakeri terkenal seperti Baker’s Art, Cat & The Fiddle, Ennoble, Huckleberry, Little Tee Cakes, Tedboy menyertai platform tersebut.

Dalam hal ini, Eat Cake Today adalah satu daripada syarikat yang terpilih di bawah program pembiayaan Cradle Fund di bawah Kementerian Kewangan untuk memulakan perniagaan berasaskan teknologi dan membangunkan serta mengkomersilkan produk serta perkhidmatan mereka. Di samping itu, gerbang perniagaan kek ini juga diharap dapat meringankan beban pengusaha kek dalam berurusan dengan pelanggan kerana sistem urusniaga dikendalikan secara sistematik secara online.

“Panel pembuat kek dipilih berdasarkan hasil tinjau selidik pasaran. Selain memudahkan urusan pembelian dan penghantaran kek, keupayaan untuk mencipta sesuatu yang berlainan adalah juga sangat penting.

“Justeru, setiap pembuat kek diminta untuk memperlihatkan keistimewaan mereka bagi mengelakkan pengulangan perisa atau jenis kek yang akan diketengahkan,” ujarnya pada pelancaran portal Eat Cake Today di Sri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambahnya, keunikan Eat Cake Today ialah mereka berupaya membuat penghantaran pada hari yang sama dalam tempoh empat jam. Antara pembuat kek yang terlibat ialah Pengurus Bakeri dan Pastri Cat and The Fiddle, Cef Munshi Abd. Razak yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang tersebut, pakar kek artisan, Cindy Chan dan pengasas Elevete, Chef Edwin Chan yang popular dengan hasil kerja mengagumkan dari rumah.

Buat masa ini terdapat empat pengusaha yang mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia iaitu Cake Sense, Cat & The Fiddle, Just Heavenly dan The Honest Treat.

Eat Cake Today membuat penghantaran di sekitar kawasan Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Petaling Jaya dengan mengenakan caj penghantaran RM10 sementara penghantaran luar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, seperti Shah Alam, Klang, Bukit Jalil, Kajang dan Rawang dikenakan caj tambahan.