Memukul, memijak, melanggar, merantai tanpa diberikan makanan, menjerut, mencekik, mencurahkan air panas dan membunuh, semuanya sudah dilakukan oleh segelintir masyarakat.

Ada pula yang sewenang-wenangnya membuang haiwan peliharaan mereka di merata-rata tempat apabila sudah tua dan dinafikan hak untuk mendapat rawatan bila sakit atau mengalami kecederaan.

Di bawah Seksyen 43, Bahagian IV, Akta Binatang 1953 (Semakan-2006) (Akta 647) haiwan ditafsirkan sebagai makhluk yang hidup selain daripada manusia dan termasuk mana-mana haiwan, burung, ikan, reptilia atau serangga sama ada liar atau jinak.

Kezaliman terhadap haiwan pula adalah apabila seseorang itu memukul, menendang, menganiaya, terlebih tunggang, terlebih pandu, terlebih muatan, mendera, memarahi atau menakutkan.

Anda tidak mempunyai kuasa untuk menyakiti haiwan meskipun kurang menyukainya.

Begitu juga jika memelihara haiwan, ia tidak memberikan kebenaran untuk anda mendera dan menindas haiwan-haiwan yang dipelihara itu sesuka hati.

Berbuat baik

Ada pula golongan yang suka menganiaya haiwan yang terbiar di jalanan. Walaupun haiwan ini tidak dimiliki oleh sesiapa, ia tidak bermakna kita boleh menyakiti mereka.

Seharusnya haiwan-haiwan terbiar inilah yang patut dibantu dan dirawat sebaik mungkin.

Sebagaimana setiap agama mengajar agar umatnya berbuat baik sesama manusia, begitu juga kita harus menyayangi haiwan. Masyarakat harus sedar bahawa haiwan juga merupakan makhluk yang bernyawa, bernafas dan mempunyai pengaliran darah dalam badan. Atas sebab itu, mereka mengerti rasa sakit apabila dizalimi.

Haiwan-haiwan ini mempunyai hak untuk hidup dan bergerak bebas kerana mereka juga merupakan ciptaan Tuhan serta ada sebab setiap makhluk ini dicipta di muka bumi.

Jadi, siapalah kita untuk menafikan hak haiwan di muka bumi ini kerana kita semua sama di sisi Maha Pencipta.

Masyarakat perlu prihatin dan mengambil tanggungjawab untuk mengutuk sekeras-kerasnya, sekali gus mengambil tindakan jika terlihat kezaliman dilakukan terhadap haiwan di negara ini.

Jangan memandang ringan isu kezaliman dengan alasan ia hanyalah seekor haiwan.

Kita sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran perlu berfikiran waras dan bertindak untuk melindungi haiwan-haiwan yang tidak berakal ini.

Ibu bapa dan para pendidik mempunyai tanggungjawab untuk menyemai sifat menyayangi haiwan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi.

Golongan belia pula mempunyai tanggungjawab untuk membantu negara dalam memastikan haiwan di negara ini tidak terus ditindas dengan menyumbang buah fikiran serta tenaga menerusi pelbagai platform yang ada.

Seseorang itu tidak perlu menjadi ahli persatuan atau menyertai badan bukan kerajaan untuk bertindak atau menghulurkan bantuan tetapi cukuplah sekadar peka dengan apa yang berlaku di sekeliling.

Pada tangan setiap rakyat di negara ini terutamanya golongan belia ada senjata yang maha tajam iaitu internet serta media sosial.

Gunakanlah ia dengan baik dan perjuangkan kebajikan haiwan di negara ini.

Ikon kemerdekaan India, Mahatma Gandhi pernah berkata, kebesaran dan moral sesuatu bangsa dapat dinilai daripada bagaimana bangsa tersebut memperlakukan haiwan mereka.

Ini adalah masa yang sesuai untuk menilai tahap moral rakyat di negara ini. Jangan jadi bangsa yang tidak bermoral dengan sesuka hati menganiaya binatang.

Bertamadun

Kalau tidak boleh menjaga usah melakukan onar dengan mencederakan haiwan-haiwan ini.

Jadilah bangsa yang bertamadun dan menghormati bukan sahaja antara manusia tetapi makhluk ciptaan Tuhan yang lain.

Penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan hukuman yang setimpal kepada mereka yang menganiaya haiwan ini perlu dilakukan dengan lebih serius.

Tindakan yang diambil itu seharusnya disebarkan kepada orang ramai agar menjadi pengajaran kepada yang lain supaya mereka tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan terhadap makhluk-makhluk yang lemah ini.