Salah satu tarikan pelancongan terdapat di Kabupaten Lombok Barat yang terkenal dengan moto Patut Patuh Patju itu ialah Gunung Sasak terletak di Desa Kuripan, Kecamatan Kuripan.

Nama Gunung Sasak diambil sempena nama suku Orang Asli yang mendiami Pulau Lombok. Pulau ini dikelilingi hamparan sawah padi dan di lerengnya pula dipenuhi pokok-pokok renek serta buluh berwarna kekuningan.

Gunung dengan ketinggian 370 meter dari aras laut itu berada dalam kawasan hutan yang dilindungi di wilayah pentadbiran Kuripan dan Kecamatan Gerung.

Pemandangan dari puncak gunung tersebut menyajikan pengunjung kawasan menghijau selain penempatan penduduk yang tersusun.

Pada masa sama, pengunjung juga dapat menyaksikan menara Masjid Hubbul Wathan Islamic Center yang berdiri megah di tengah kota Mataram dari puncak gunung tersebut.

Panorama alam yang menakjubkan itu turut memikat sang pencinta alam apabila menyaksikan rumah pokok yang dibina oleh kumpulan aktivis pelancongan di puncak gunung berkenaan.

Menurut Ketua Kelompok Sadar Wisata (Pokdarwis) Kuripan Lestari, Lalu Okto Muhar Sabdi, rumah pokok akan menjadi salah satu tarikan pelancongan di gunung tersebut.

Justeru katanya, anak-anak muda di desa berkenaan akan membina lebih banyak rumah pokok agar Gunung Sasak dapat menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di Lombok Barat.

Beliau turut berharap menerusi inisiatif itu, gunung yang dahulunya hanya dibuka untuk tujuan pertanian akan menjadi salah satu tarikan pelancongan baharu.

Pokdarwis bersama pegawai desa tempatan dan pengurus Gunung Sasak, kelompok Beriuk Tinjal akan terus berusaha untuk membangunkan kawasan tersebut sementara menunggu bantuan daripada agensi pelancongan Anggaran Dana Desa (ADD) Kuripan.

Kedudukan gunung berkenaan yang terletak tidak jauh dari pusat kota Giri Menang, Gerung iaitu ibu kota Kabupaten Lombok Barat turut meningkatkan potensinya untuk menarik kedatangan pelancong.

Ketika ini, masih belum ramai lagi yang mengunjungi gunung tersebut selain kemudahan pelancongan juga tidak banyak dibangunkan di kawasan berkenaan.

Pengunjung boleh menaiki kenderaan dua atau empat roda untuk ke kawasan itu sementara bagi aktiviti pendakian di gunung tersebut hanya mempunyai satu laluan.

Terdapat beberapa laluan yang boleh dilalui iaitu melalui Jalan Kuripan di Kabupaten Lombok Barat dan Sulin di Kabupaten Lombok Tengah.

Tempoh perjalanan pula mengambil masa sekitar satu atau dua jam melalui jalan yang berkerikil seluas dua meter sebelum pengunjung sampai ke gunung tersebut.

 

Kemudahan

Bupati Lombok Barat, Fauzan Khalid berkata, pihaknya akan merasmikan Gunung Sasak sebagai destinasi pelancongan semula jadi yang baharu selain merancang untuk membangunkan lokasi untuk ukyatul hilal atau tempat melihat bulan di atas gunung tersebut.

Pihaknya serius untuk menjadikan industri pelancongan sebagai produk utama di wilayah tersebut dan proses inovasi akan dilaksanakan secara berperingkat.

Sehubungan itu, pihaknya turut memberi penekanan terhadap potensi tempatan untuk keperluan pelancongan perlu terus diperbaiki dengan salah satunya adalah Gunung Sasak.

Menurut beliau, pihaknya perlu menyediakan pelbagai kemudahan sokongan serta peralatan masakan agar pengunjung berasa bagai berada di rumah sendiri ketika bercuti.

Selain Gunung Sasak, Kabupaten Lombok Barat juga memiliki kampung kreatif yang mengetengahkan pelancongan hutan seperti di Desa Sesaot, Desa Pakuan dan Desa Buwun Sejati. Ketiga-tiga desa tersebut dikenali sebagai Desa Sekawan Sejati.

Misalnya, Desa Buwun Sejati memperkenalkan konsep pelancongan desa kepada masyarakat. Sebanyak lima dusun yang terdapat di desa tersebut memiliki potensi seperti seni budaya dan kraftangan.

Selain menikmati keindahan alam sekitar dan budaya Lombok, Fauzan Khalid berkata, pelancong juga dapat menyaksikan toleransi agama dalam kalangan penduduk.

Desa Buwun Sejati sememangnya kaya dengan potensi berkenaan kerana itu ia diyakini akan berkembang maju jika dibangunkan dengan semangat bersatu padu yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

 

Aktiviti pelancongan

Sehubungan itu, pemerintah Kabupaten Lombok Barat optimis sasaran jumlah kedatangan pelancong termasuk warga asing sebanyak 900,000 orang pada tahun ini dapat dicapai.

Sasaran tersebut meningkat berbanding tahun lalu sebanyak 600,000 orang, namun berjaya menarik kedatangan pelancong seramai 730,000 orang.

Usaha pemerintah wilayah Lombok Barat untuk mengembangkan tarikan pelancongan alam sekitar termasuk Gunung Sasak adalah selaras dengan objektif pemerintah wilayah Nusa Tenggara Barat (NTB) bagi meningkatkan lagi pelancongan desa.

Pemerintah wilayah NTB menyasarkan untuk mengembangkan potensi 24 desa pelancongan bagi menarik kedatangan pelancong ke daerah tersebut.

Menurut Ketua Pejabat Pelancongan NTB, Lalu Mohammad Faozal, pembangunan desa itu dapat memacu potensi penduduk setempat seperti kraftangan, budaya, pertanian dan marin.

Katanya, penduduk yang mempunyai rumah di desa tersebut akan dilatih bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti pelancongan sesuai dengan kawasan berkenaan.

Misalnya, pihaknya akan mendorong penduduk untuk menjalankan perusahaan kecil dan sederhana melalui kreativiti mereka sekali gus dapat menjadikan desa pelancongan lebih terancang.

Selain itu, terdapat beberapa desa pelancongan akan dimajukan. Antaranya ialah Desa Sesaot di Kabupaten Lombok Barat yang kaya dengan aktiviti pertanian terutamanya buah-buahan dan kulinari sehingga ia boleh diangkat sebagai kawasan agro pelancongan.

Selain itu, Desa Sembalun, Kabupaten Lombok Timur turut berpotensi menjadi agro pelancongan sementara Desa Gili Indah di kawasan tiga gili iaitu Gili Trawangan, Gili Air dan Gili Meno di Kabupaten Lombok Utara dalam bidang marin.

Desa Sade dan Ende di Kabupaten Lombok Tengah pula kaya dengan hasil kraftangan dan kebudayaan.

Jelas Lalu Mohammad, pemerintah wilayah ingin membantu penduduk bebas daripada amalan pemberi pinjaman melalui kemudahan kredit perusahaan kecil dan sederhana oleh pihak bank.

Selain itu, setiap desa pelancongan terlibat akan menerima peruntukan untuk pembangunan infrastruktur kemudahan awam.

Pembangunan desa pelancongan tersebut diharap bukan hanya dapat menarik pelancong untuk menyaksikan keindahan alam sekitar malah menikmati hasil seni dan budaya masyarakat setempat.

 

Kolum Khabar Indonesia ini dikelolakan oleh: 
* Agus Setiawan (Antara) 
* Megat Ramli Megat Raof (Kosmo!)
 Untuk memberikan respons, sila e-mel ke [email protected]