Perkembangan revolusi internet itu juga membuka peluang kepada perkembangan media sosial dan memberikan kelebihan kepada masyarakat siber untuk menukar komunikasi yang dahulunya dalam bentuk satu hala kepada komunikasi dua hala.

Sesiapa sahaja yang mempunyai gajet moden dan perkhidmatan internet dilihat mampu mencapai apa sahaja maklumat yang diperlukan serta memberikan maklum balas dengan segera tanpa sebarang sekatan.

Walaupun Malaysia mempunyai pelbagai undang-undang yang mengawal lambakan maklumat seperti akta penapisan dan hak cipta dan kerahsiaan, kesemua undang-undang itu seolah-olah tidak diambil endah oleh pengguna-pengguna alam siber.

Segelintir masyarakat di negara ini memutarbelitkan segala yang berlaku, sekali gus menjadikan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan agenda negatif mereka.

Media baharu dan internet telah dijadikan sebagai medium untuk menyebarkan berita-berita palsu, gosip, propaganda, fitnah dan seterusnya memberikan komen-komen yang menghina, berbau perkauman, tidak intelektual serta kurang matang.

Masyarakat seharusnya meneliti terlebih dahulu setiap maklumat yang dimuatkan dalam media sosial itu. Bukan semua maklumat yang terdapat dalam internet adalah betul dan boleh dipercayai.

Pada zaman yang serba maju ini, perkara yang betul boleh dipalsukan dan perkara yang palsu boleh diputarbelitkan serta dijadikan sebagai yang benar.

Sebelum menyebarkan satu-satu berita, pastikan ia benar, fikir dahulu apakah impak daripada penyebaran itu dan tujuan ia disebarkan.

Apa yang baik untuk anda tidak semestinya memberikan manfaat kepada orang lain. Isu yang anda anggap sebagai menyeronokkan mungkin melukakan perasaan orang lain.

Ada pula yang menggunakan media baharu untuk tujuan penipuan seperti e-mel atau phishing, penipuan pelaburan mata wang asing (forex), pekerjaan dalam talian, jual beli dalam talian termasuk menggunakan penyamaran penguat kuasa.

Semua itu dilakukan untuk mendapatkan wang dengan cara yang mudah. Netizen sepatutnya menggunakan kemudahan internet itu untuk mengumpul ilmu, berkomunikasi, mencari pendapatan, menunjukkan bakat, menghiburkan diri dan mencari peluang untuk memajukan diri.

Penyalahgunaan teknologi moden ini seharusnya dibendung dengan kadar yang segera.

Anak-anak muda perlu mempunyai pengetahuan yang baik dalam selok-belok media baharu untuk memainkan peranan yang penting bagi membendung penyalahgunaan teknologi maklumat.

Golongan itu seharusnya berpegang pada moto Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia iaitu ‘tidak pasti jangan kongsi’.

Amanat

Sebagai pengguna internet yang baik dan matang, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendukung amanat menjaga kedaulatan negara.

Jangan hancurkan negara yang dibina selama lebih 60 tahun ini disebabkan oleh media baharu yang kini menguasai kehidupan masyarakat.

Untuk aktiviti penipuan dalam dunia siber ini, penulis menasihatkan netizen agar jangan panik dan bawa bertenang, buat siasatan serta kumpulkan maklumat.

Jangan tergesa-gesa bersetuju atau mengambil sebarang keputusan tanpa betul-betul pasti mengenai identiti individu yang menghubungi anda dalam dunia maya.

Selalu ingat bahawa sebarang tindakan daripada pihak kerajaan atau bank hanya dibuat melalui saluran rasmi iaitu surat rasmi dan bukannya menerusi panggilan-panggilan telefon mahupun e-mel.

Dapatkan pandangan beberapa pihak sebelum mula bertindak dan orang yang paling penting serta boleh dipercayai untuk menolong anda ialah pihak polis.

Jangan segan untuk menghubungi pihak polis dan memberitahu apa yang berlaku. Anda juga tidak perlu takut kalau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Malah, e-mel atau gangguan melalui media sosial ini seharusnya dibiarkan sahaja tanpa dilayan.

Paling penting adalah banyak membaca dan mengambil tahu apa yang berlaku di dalam dan di luar negara.

Amalkan tabiat bertanya dan mencari maklumat sebelum mengambil sebarang tindakan. Jangan berkongsi sebarang maklumat peribadi kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.

Jangan menekan sebarang link dalam internet, terutamanya daripada pihak bank. Sentiasa berhati-hati dengan aktiviti anda dalam dunia siber.