Projek yang terdiri daripada pemangkin hijau, bandar raya lestari, mobiliti rendah karbon, tenaga lestari serta teknologi dan inovasi itu bertujuan untuk memastikan rakyat di negara ini menjalani kehidupan lebih hijau.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada matlamat jangka panjang GreenTech Malaysia dalam mengembangkan program sedia ada dan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GreenTech Malaysia, Dr. Mohd. Azman Zainul Abidin berkata, Malaysia merupakan antara negara yang aktif dan menyumbang kepada transformasi hijau global.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil daripada kerjasama dengan beberapa negara dalam menganjurkan acara hijau peringkat antarabangsa di Malaysia.

“Kami sentiasa berusaha untuk mewujudkan bidang tumpuan baharu bagi menjadi juara dalam ekonomi hijau, teknologi hijau dan budaya hijau,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Pembangunan teknologi hijau diwujudkan untuk menerajui pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

Justeru GreenTech Malaysia sentiasa komited terhadap Pelan Induk Teknologi Hijau Malaysia (GTMP) (2017-2030) dan merancang mengembangkan sektor tersebut.

GTMP merupakan rangka kerja yang memudahkan pengurusan teknologi hijau di Malaysia. Terdapat enam sektor yang diberi keutamaan dalam GTMP iaitu tenaga, pembuatan, pengangkutan, bangunan, sisa dan air.

“Kami akan terus berusaha meningkatkan keupayaan dan kecekapan dalam melaksanakan aspirasi GTMP.

“Cabaran paling besar adalah mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida, meningkatkan pelaburan hijau, pembangunan modal insan serta melaksanakan program hijau,” katanya.