Istimewanya, Gondola31 menawarkan sebanyak 74 jenama fesyen tempatan antaranya Jannahnoe, Jubahsouq, Bella Ammara, Cotton Metaphore, Naelofar dan Chenta Qaseh di bawah satu bumbung.

Selain itu, butik itu juga terkenal dengan dekorasi yang menggunakan kayu palet sebagai bahan utama rekaan dalaman di segenap ruang di Gondola31.

Pengasas Gondola31, Mohd. Nor Nizam Baharudin, 34, berkata, beliau melahirkan rasa syukur apabila perniagaan butik itu akan menginjak ke usia tiga tahun pada 8 November ini.

Jelasnya, sempena ulang tahun ketiga Gondola31, beliau mengadakan promosi dan potongan harga sehingga 70 peratus untuk para peminat fesyen jenama tempatan membeli-belah di butik tersebut.

“Promosi ini bermula pada bukan Oktober hingga 31 Disember depan. Kita mempunyai lebih 5,000 stok pelbagai jenis pakaian dan aksesori lelaki atau wanita untuk dihabiskan dalam tempoh tersebut.

“Selepas diskaun, pengunjung memperoleh harga pelbagai jenis pakaian kanak-kanak dan dewasa antara RM50 hingga RM100 sahaja. Bagaimanapun, promosi ini tidak termasuk stok pakaian yang baru tiba di butik,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Kategori

Tambahnya, promosi tersebut merupakan jualan penghabisan stok barangan di butik tersebut dan pelanggan juga tidak perlu risau kerana penyusunan pakaian di Gondola31 dibuat mengikut kategori agar memudahkan pengunjung.

Tidak gemar dilabel sebagai sebuah butik eksklusif, Mohd. Nor Nizam dan rakan kongsinya, Norazura Posdzi, 34, mahu Gondola31 dikenali sebagai sebuah pusat beli-belah yang menawarkan harga yang berpatutan.

Ujarnya, pelanggannya terdiri daripada pelbagai jenis lapisan masyarakat malah jenama pakaian yang dijual di butik itu sesuai untuk menghadiri majlis keramaian, formal, santai, pejabat atau ke kuliah bagi golongan pelajar.

“Saya ingin menegaskan bahawa Gondola31 merupakan sebuah butik untuk semua tanpa mengira jantina kerana kita menjual pelbagai jenis pakaian. Pengunjung juga tidak perlu risau kerana kita menawarkan pakaian pada harga yang berpatutan.

“Sempena ulang tahun ketiga, saya mahu mengekalkan jualan daripada 74 jenama fesyen tempatan di butik ini selain kekal sebagai sebuah butik vendor terbesar di utara negara ini,” katanya.

Menyentuh mengenai kaedah pembelian pakaian di Gondola31, Mohd. Nor Nizam berkata, sekiranya tidak berkunjung ke butik, pelanggan boleh membeli barangan secara atas talian melalui Instagram dan Facebook.

Ujarnya, butik itu menerima dan menghantar pakaian yang dijual ke seluruh pelosok negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Pembelian atas talian merupakan kaedah mudah untuk pelanggan. Ia merupakan salah satu langkah untuk Gondola31 mengembangkan perniagaan ke lokasi lain selain di Perak,” katanya.