Program tersebut merupakan satu usaha komuniti yang dilaksanakan pasar raya itu untuk berkongsi dengan masyarakat yang banyak membantu syarikat tersebut mengembangkan operasi di negara ini.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuk menyantuni golongan kurang bernasib baik seperti orang tua dan anak yatim bagi memastikan mereka tidak dilupakan dan terus dihargai.

Untuk tujuan ini, Giant melaksanakan beberapa program komuniti di PPR, rumah orang tua dan rumah anak yatim di seluruh negara sepanjang menyambut musim perayaan ini.

Inisiatif yang dilaksanakan itu merupakan sebahagian daripada program Giant Big Hearted yang menggalakkan kakitangannya menyumbang sesuatu kepada komuniti yang berada di sekitar rangkaian Giant di negara ini.

Sebagai tambahan kepada program tersebut, Giant juga menggalakkan pelanggannya di seluruh negara untuk bersama menyumbang kepada mereka yang kurang bernasib baik melalui sumbangan barangan keperluan dengan meletakkan barang-barang dalam tong sumbangan Buy and Drop yang terletak di semua pasar raya besar Giant sehingga 28 Februari ini.

Semua barangan yang disumbangkan akan diagihkan kepada keluarga dan anak-anak yang kurang bernasib baik melalui Yayasan MyKasih.