Kebanyakan penduduk di negara Matahari Terbit itu menanam padi di petak-petak sawah yang mereka usahakan.

Namun, oleh kerana golongan muda tidak lagi berminat menanam padi, hanya petani-petani tua yang berjuang untuk meneruskan aktiviti tersebut.

Mereka sekadar bertani untuk meneruskan kelangsungan hidup semata-mata dan rata-rata petani di Jepun berusia dalam lingkungan 60-an.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila petani-petani itu meninggal dunia.

Justeru, industri penanaman dan pengeluaran padi tidak lagi dapat menghasilkan lebih banyak beras, sekali gus bersaing dalam pasaran global yang kompetitif.

Namun, seorang petani berusia 66 tahun, Kazuo Ogura boleh dianggap bertuah. Ini kerana anaknya, Yuichi mengambil keputusan untuk mengikut jejak langkah bapanya itu dengan melibatkan diri dalam industri perniagaan keluarga.

Ogura kelihatan bangga kerana anak lelakinya yang berusia 38 tahun itu tidak kekok menggunakan mesin yang direka khas untuk menanam padi pada musim menuai tahun ini.

“Saya merupakan satu-satunya daripada 220 orang pelajar di sekolah saya yang bekerja di tapak sawah. Tidak ramai golongan muda yang berusia dua puluhan bekerja di ladang pertanian,” kata Yuichi.

Ogura melihat masa depan perniagaannya di Kazo yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari utara Tokyo sangat cerah apabila Yuichi sanggup bergelumang dengan lumpur.

Namun, dalam mendepani persekitaran yang penuh mencabar itu, Yuichi menyifatkan, penghasilan makanan yang berkualiti pada harga berpatutan dan memanfaatkan ekonomi secara berhemah merupakan perkara paling penting untuk dilakukan.

Titik perubahan

Ogura kekal berdaya saing apabila bergabung dengan dua buah keluarga lain untuk menanam dan menghasilkan lebih banyak padi. Mereka menjual beras pada harga 300 yen (RM11) sekilogram.

Walaupun penggunaan beras di Jepun merosot sejak lebih setengah abad lalu, ia masih diperlukan terutamanya bagi tujuan agama seperti dalam ritual Shinto, sekali gus membantu kelangsungan beras untuk bertahan sehingga hari ini.

Pemberian subsidi dan pengawalan harga beras menjadikan industri itu paling dilindungi sebelum Perdana Menteri, Shinzo Abe membatalkan dasar tersebut pada tahun ini.

Keadaan itu seakan-akan mendesak petani untuk menjadi lebih berdaya saing.

Menteri Pertanian, Ken Saito memberitahu, ia adalah satu titik perubahan kepada petani-petani.

“Para petani perlu berfikir apakah makanan yang boleh dijual dengan menggunakan hasil padi yang diusahakan. Mereka juga perlu lebih peka dan berinteraksi dengan pasaran,” katanya.

Menurutnya lagi, secara umumnya, masyarakat Jepun semakin kurang makan nasi. Penggunaan per kapita tahunan menurun daripada 118.3 kilogram (kg) pada tahun 1963 kepada 54.6kg pada 2015 iaitu separuh daripada jumlah tersebut.

Pakar pertanian di Universiti Tokyo, Mitsuyoshi Ando pula berkata, industri pertanian padi tidak mempunyai masa depan yang cerah.

“Pesawah perlu meningkatkan daya saing. Mereka perlu mengeluarkan hasil yang banyak tetapi sukar untuk mencapai ekonomi skala besar di kawasan pergunungan kerana batasan geografi yang menghalang petani daripada memperluas petak sawah mereka.

“Ditambah pula dengan pengurangan subsidi, jumlah petani yang dapat bertahan akan menurun kerana penggunaan beras tidak lagi meningkat,” tutur Ando.

– AFP