Cawangan ketiga di Asia, selepas pembukaan di Taipei pada tahun 2017 dan Shanghai, China tahun lalu itu membawakan pengalaman penginapan baharu menerusi gaya moden dan terkini dalam elemen kebangsaan.

Pengurus hotel, Aarron Nelson berkata, CitizenM membawakan hospitaliti unik yang menyambut kedatangan tetamu seperti berada di rumah sendiri.

“Kami membawakan elemen teknologi pintar dalam hospitaliti yang mana pengunjung boleh terus mendaftar sendiri di kiosk yang disediakan di lobi hingga kawalan tetapan kamar dengan menggunakan tab pintar yang disediakan di semua 210 bilik.

“Konsep yang diketengahkan juga lebih kontemporari dengan dekorasi berwarna-warni dan pada masa sama menerapkan elemen-elemen nasional iaitu identiti Malaysia seperti makanan dan kraftangan,” katanya pada majlis pelancaran CitizenM baru-baru ini.

Tambahnya pemilihan cawangan baharu di Bukit Bintang adalah signifikan sebagai lokasi ideal di tengah Kuala Lumpur yang berdekatan dengan kemudahan awam dan lokasi makanan seperti Jalan Alor.

Jelasnya lagi, dalam menghidupkan keselesaan seperti rumah sendiri, ruang lobi CitizenM telah didekorasi seperti ruang tamu.

Pengunjung dialu-alukan untuk menggunakan ruang berkenaan seperti di rumah mereka untuk berehat, membaca, menonton televisyen, bekerja atau berjumpa dengan rakan-rakan.

Tidak ketinggalan, ia turut disertakan dengan ruang makan berkonsepkan kafe yang menyediakan juadah buat penginap hotel 24 jam setiap hari.

Dekorasi bilik

Selain itu, CitizenM turut membawakan kelainan dalam dekorasi bilik yang bercirikan moden dengan konsep yang sama pada setiap kamar termasuk bilik mesra orang kelainan upaya (OKU).

Sama ada menghadap bandar raya atau dekorasi taman di ruang tengah hotel, setiap bilik disediakan dengan katil saiz king, kamar mandi yang diterapkan lampu berwarna-warni dan bidai yang boleh dilaras dengan kawalan pintar.

Tambah Nelson lagi, bagi mereka yang berkunjung untuk tujuan perniagaan, CitizenM turut menyediakan ruang diskusi iaitu SocietyM.

“Ruang ini disediakan dengan tiga ruang mesyuarat kreatif iaitu satu ruang besar dua ruang kecil dan dan boleh menempatkan 14 hingga 40 individu pada satu-satu masa.

“Kita memberikan ruang buat urusan perniagaan dalam konsep yang unik dan tersediri. Setiap ruang SocietyM menampilkan perabot Vitra, seni dan hiasan berwarna-warni, peralatan audio visual (AV), alat tulis dan minuman tanpa had,” ujarnya.