Namun, apabila menyebut sahaja minggu suai kenal atau orientasi, ia pasti memberi bayangan atau konotasi yang negatif.

Suka atau tidak, sepanjang tempoh ini semua pelajar seperti biasa perlu berhadapan dengan jadual aktiviti yang padat, sesak dan meletihkan.

Suatu ketika dahulu, kita juga digemparkan dengan gejala pelajar baharu yang dibuli oleh pelajar-pelajar senior yang didakwa berlaku dalam kalangan universiti tempatan.

Itulah antara ‘mimpi ngeri’ yang perlu dilalui oleh mereka yang pernah bergelar mahasiswa sejak puluhan tahun lalu.

Ketika majlis suai kenal atau orientasi, setiap tahun formatnya hampir sama.

Semua pelajar perlu beratur, berjalan beramai, menyertai sukan pada waktu petang, membuat persembahan berkumpulan di sebelah malamnya, perbincangan dan sebagainya.

Apa yang pasti, minggu suai kenal ini jarang dilihat dari sudut yang positif khususnya membantu pembangunan sahsiah dan bakat dalam kalangan pelajar baharu.

Persoalannya, sampai bila pelajar perlu berhadapan dengan situasi seperti ini setiap kali melangkah ke alam universiti?

Atas usaha untuk menghapuskan gambaran jumud itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Pengurusan dan Pembangunan Mahasiswa atau UKM Siswa tampil dengan idea baharu bagi menjadikan Minggu Mesra Mahasiswa atau 3M ini benar-benar mesra serta seiring dengan keadaan semasa.

Bermula pada kemasukan September ini, pelajar tidak lagi terikat dengan peraturan dan jadual serta bebas untuk memilih aktiviti yang mereka suka sepanjang minggu suai kenal berlangsung.

Tahun ini dianggarkan sekitar 4,000 warga pelajar baharu yang datang mendaftar mulai 1 September ini.

 

Aplikasi

Ia pasti memberi cabaran besar kepada warga kampus kerana buat pertama kali diperkenalkan pendekatan baharu dalam minggu 3M.

Apatah lagi dengan perkembangan teknologi komunikasi ketika ini, program yang dilakukan perlu seiring dengan minat dan kemahiran para pelajar.

Kalau sebelum ini pelajar banyak bergantung kepada jadual yang telah disediakan, hasil gabungan kreativiti dalam kalangan mahasiswa dari Fakulti Sains dan Teknologi itu sendiri, sebuah aplikasi khusus diberi nama [email protected] berjaya dihasilkan buat pertama kali untuk digunakan oleh semua pelajar dan kakitangan yang terlibat.

Aplikasi ini menyediakan informasi penting seperti jadual kenderaan dan aktiviti, lokasi serta informasi tentang pendaftaran ini.

Ini bermakna, pelajar tidak perlu lagi keliru dan bergantung kepada kertas atau jadual.

Mereka hanya perlu merujuk kepada aplikasi ini serta memilih apakah aktiviti kokurikulum yang diminati untuk disertai dan terus kepada lokasi program.

Walaupun idea penghasilan video pernah menimbulkan kritikan dan dakwaan kononnya mahu menaikkan ranking universiti, niat pihak UKM jelas baik iaitu untuk mahasiswa sendiri.

Bila berhadapan dengan kamera, perkara yang paling utama ialah skil berkomunikasi serta mempunyai karakter yang meyakinkan, selain mendapat berkongsi pengalaman dunia kampus dalam kalangan alumninya.

Aktiviti ini secara langsung akan mewujudkan interaksi antara pelajar baharu dengan para alumni yang pernah menjadi mahasiswa di UKM.

Realiti yang wujud ketika ini adalah mahasiswa tidak lagi dijamin untuk mendapat kerja berdasarkan bidang yang mereka pelajari.

Dalam suasana yang sangat kompetitif, peluang kerjaya tidak lagi bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata tetapi banyak bergantung kepada bakat atau kemahiran insaniah yang dimiliki secara semula jadi serta berjaya diasah.

Sebagai contoh, pelajar yang mengambil jurusan undang-undang tetapi ada kemahiran komunikasi dan perwatakan cemerlang, ia tidak hanya berpeluang menjadi seorang peguam tetapi berjaya menjadi seorang wartawan atau mungkin pengurus firma perniagaan.

Atas sebab ini, UKM telah memperkenalkan 7 domain utama bukan akademik untuk dipilih oleh pelajar berdasarkan minat mereka.

Antaranya seperti inovasi, kebudayaan, kepimpinan, kesukarelawan, kelestarian, sukan dan keusahawanan.

Pelajar boleh memilih domain yang diminati seterusnya memperoleh ilmu di luar bilik kuliah.

 

Anak angkat

Dengan menggunakan konsep anak angkat antara pensyarah dan pelajar, para mahasiswa yang mendaftar di setiap fakulti nanti akan disambut oleh kalangan pensyarah sendiri secara langsung.

Para pelajar ini diagihkan kepada pensyarah agar memudahkan urusan bimbingan pendaftaran serta pemilihan jadual kursus yang harus diambil sepanjang tiga tahun berada dalam UKM ini.

Para pensyarah ini juga bakal membawa pelajar dan ahli keluarga mereka untuk melawat kemudahan yang wujud dalam fakulti masing-masing seperti studio rakaman, makmal sains dan bilik kuliah.

Usaha ini membantu pelajar memperoleh inspirasi sebagai mahasiswa dalam kampus.