Kepada golongan dewasa pula pasti menyimpan banyak kenangan indah mengikuti rombongan sekolah melawat taman haiwan sewaktu di bangku sekolah.
Namun, sejauh mana kunjungan ke taman haiwan dapat menyemai rasa sayangkan haiwan dan mengambil berat terhadap kebajikan haiwan?

Harimau misalnya, terutama spesies Harimau Malaya berapa ramai yang sedar ia semakin pupus dan keadaannya amat membimbangkan? Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia, anggaran terkini menunjukkan terdapat hanya antara 250 hingga 340 ekor Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia berbanding kira-kira 500 pada 1990 dan sekitar 5,000 ekor pada tahun 1950.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zoo Melaka dan Night Safari, R. Raja Segran, cabaran terbesar yang dihadapi oleh setiap zoo iaitu menterjemah keseronokan terutamanya generasi muda yang melawat zoo kepada sifat sayangkan haiwan seterusnya melindungi haiwan itu daripada ancaman dan kepupusan.

Pulihara

Beliau juga menegaskan zoo seharusnya memainkan peranan sebagai teraju utama dalam usaha pemuliharaan haiwan di negara ini.

“Rakyat Malaysia sangat sayangkan Harimau Malaya. Malah pergi ke zoo di negara ini, haiwan pertama yang mereka cari selalunya Harimau Malaya.

“Jadi bagaimana kita dapat terjemah kasih sayang ini kepada usaha melindungi Harimau Malaya dan haiwan lain?” soal beliau. Dalam memastikan zoo memainkan peranan itu perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memberikan pendidikan kepada pengunjung zoo.

Pendidikan mengenai haiwan penting antaranya kepada pengunjung generasi muda terutamanya kanak-kanak. Ini dapat dilaksanakan dengan memberikan mereka pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila berada di zoo.

Menurut beliau, satu lagi faktor yang penting dalam memberikan pendidikan kepada pengunjung ialah memberikan peluang kepada pengunjung untuk bermesra dan menikmati pengalaman bersama haiwan itu.

“Jangan biarkan pengunjung pergi ke sebuah kandang haiwan, hanya membaca keterangan bertulis dan berlalu pergi. Kita wujudkan perasaan sayang pengunjung kepada haiwan dengan memberikan peluang kepada mereka memberi makan atau pun mendengar sendiri cerita mengenai haiwan daripada penjaga zoo.

“Di zoo ini kita memberi peluang pengunjung memberi makan pelbagai binatang seperti gajah dan zirafah selain berinteraksi dengan haiwan itu. “Kita juga menyediakan petting zoo untuk kanak-kanak memberi makan, bermain dan memegang sendiri haiwan kecil seperti arnab. Ini memupuk sifat sayangkan haiwan seawal usia muda,” kata Raja Segran.

Pencerita

Pada Raja Segran, peranan seorang penjaga haiwan di zoo perlu dipertingkatkan daripada seorang yang hanya menjaga makan minum haiwan kepada seorang pencerita. Menurut beliau, penjaga haiwan bukan bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Zaman penjaga haiwan beri haiwan makan minum sahaja sudah berakhir. “Mereka sebenarnya amat menyayangi haiwan yang mereka jaga dan kenal sangat setiap haiwan mereka yang jaga cuma tiada ruang untuk mereka bercerita.

“Jadi kita beri mereka mikrofon, tempatkan mereka di hadapan kandang haiwan bersama pengunjung dan minta mereka ceritakan tentang haiwan itu kepada pengunjung sambil beri makan.

Mereka amat suka bercerita dan pengunjung lebih terhibur serta mengetahui pelbagai perkara mengenai haiwan itu,” katanya.

Buat masa ini zoo itu mempunyai 25 orang penjaga haiwan yang pakar dalam menjaga haiwan masing-masing, serta sekitar 80 petugas pelbagai bidang di zoo itu.

“Haiwan adalah majikan sebenar kami. Apa yang penting ialah menyemai perasaan sayangkan haiwan itu kepada setiap petugas, sama ada petugas di pejabat mahupun di kandang haiwan. Kita perlu lengkapkan mereka dengan pengetahuan tentang haiwan,” ujarnya.

Pada masa ini, Zoo Melaka dan Night Safari mempunyai kira-kira 600 haiwan daripada 150 spesies dari seluruh dunia.
Zoo Melaka ditubuhkan sejak 1963 di bawah penjagaan Kerajaan Negeri Melaka sebelum diswastakan pada November 2013 di bawah nama baru iaitu Zoo Melaka dan Night Safari. – Bernama