Kerja amal itu adalah hasil daripada kejayaan kempen Goodness Feeds Greatness Fernleaf yang dilakukan jenama tersebut dengan kerjasama rakan perniagaannya, pasar raya Mydin.

Kempen yang berlangsung dari 15 Oktober hingga 15 November 2017 lalu menyaksikan sokongan orang ramai yang membeli pek-pek susu Fernleaf untuk menyumbangkan kelazatan dan nutrisi susu kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Menerusi kempen itu, sebanyak 50 gram (g) susu tepung Fernleaf disumbangkan kepada kanak-kanak di rumah-rumah amal bagi setiap pembelian pek susu tepung Full Cream dan Family Milk Fernleaf di pasar raya-pasar raya Mydin.

Untuk permulaan, sebanyak 50kg susu tepung Fernleaf telah disampaikan kepada rumah Agathians Shelter manakala selebihnya akan diagihkan kepada rumah-rumah amal yang lain.

Pengarah Pengurusan Fonterra Brands Malaysia dan Singapore, Jose Miguel Porraz-Lando berkata, kerjasama dengan Mydin itu sebagai sokongan aspirasi kepada kanak-kanak yang memerlukan.

“Fernleaf telah memberikan nutrisi tenusu yang terbaik kepada keluarga-keluarga Malaysia sepanjang 30 tahun yang lalu.

“Menerusi kerjasama terbaharu bersama Mydin ini, Fernleaf mahu mengembangkan lagi kempen Goodness Feeds Greatness Fernleaf dengan memberikan sokongan aspirasi bukan sahaja kepada pengguna dan keluarga pengguna tetapi kanak-kanak yang memerlukannya.

“Dengan memberikan mereka nutrisi susu yang tepat, kita dapat membantu kanak-kanak ini menjadi lebih kuat dan tabah menghadapi cabaran hidup,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan susu itu di Agathian Shelter, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis penyampaian itu, Pengarah Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datin Wira Dr. Siti Hawa Mohd. dan Ahli Majlis Eksekutif Agathians Shelter, M. Inthira.

Siti Hawa meluahkan keterujaannya dalam membantu kanak-kanak kurang bernasib baik ini dan menyifatkan ia inisiatif yang bermakna.

“Bagi pihak Mydin, kami gembira dapat bekerjasama dengan Fernleaf dalam inisiatif yang bermakna ini.

“Dengan 500kg susu tepung Fernleaf, kami berharap sifat murah hati pengunjung Mydin dapat membantu mengubah hidup kanak-kanak ini,” katanya.

Selain Gathians Shelter, sembilan lagi rumah amal yang bakal menerima sumbangan ialah Asrama Damai Rumah Anak-anak Yatim Kuang, Selangor; Rumah Kebajikan Anak Yatim Alkhairiyah, Klang, Selangor; Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan (PAYDA), Seremban, Negeri Sembilan; Vision Home, Ipoh, Perak; Rumah Anak-Anak Yatim Islam Jasin, Melaka, Chrystal Home di Perak, Villa Paulos di Johor, Rumah Amal Permata Hatiku di Kuala Lumpur dan Sinar Ceria Care Centre di Pulau Pinang.