Misalnya, dahulu kita mendengar ada jawatan seperti jurutaip di banyak organisasi kerajaan. Kini, bukan sahaja mesin taip itu sendiri tidak berapa kelihatan, jawatan seumpama itu mungkin tidak begitu diperlukan lagi.

Kini semua orang boleh menaip menggunakan komputer. Dahulu posmen mungkin banyak memfokuskan kerjanya untuk menghantar surat. Kini, wujudnya e-mel menyebabkan banyak dokumen atau surat menyurat boleh dihantar segera melalui e-mel.

Namun pekerjaan sebagai posmen masih lagi beruntung kerana dengan munculnya pula pembelian barangan secara atas talian yang boleh dipesan dari seluruh dunia. Dunia pekerjaan posmen masih boleh dipertahankan.

Mereka kini mungkin disibukkan pula dengan aktiviti menghantar barangan yang dipesan oleh pengguna.

Mungkin puluhan tahun dahulu, industri menjual akhbar dianggap sebagai sangat menguntungkan. Kini, berapa ramai lagi pembaca yang membeli akhbar bercetak?

Hampir kebanyakan orang tidak lagi membeli akhbar, sebaliknya hanya membacanya secara atas talian. Mereka juga tidak perlu menunggu sehingga keesokan harinya untuk mendapatkan berita terbaharu seperti lazimnya pembaca menunggu perkembangan berita daripada akhbar bercetak.

Dengan membaca akhbar atas talian yang kebanyakannya percuma, mereka boleh mengemas kini maklumat setiap minit.

Sebagai pembaca, anda juga mungkin telah tidak melakukan banyak perkara yang dilakukan 10 atau 20 tahun yang lalu. Anda mungkin tidak lagi beratur di kaunter pejabat pos untuk membayar bil, tidak lagi perlu berurusan dengan ejen tiket untuk membeli tiket bas atau kapal terbang dan anda juga mungkin tidak lagi menggunakan wang tunai bagi membeli barang.

Sebenarnya apakah yang sedang kita lalui?

Sebenarnya ini adalah sebahagian daripada fenomena perubahan sifat pekerjaan manusia yang sedang berlaku. Sesetengah penulis mengistilahkan perubahan ini sebagai sebahagian daripada apa yang dikatakan sebagai fenomena megatrends.

Mutakhir ini sering kali kedengaran bagaimana segelintir kecil persatuan pemandu teksi mengadu rasa tidak puas hati mereka apabila pihak kerajaan kelihatannya memberikan lebih keutamaan kepada pemandu teksi yang bernaung di bawah sistem e-hailing Grab.

Periuk nasi

Walaupun kewujudan Grab tidaklah menghilangkan pekerjaan pemandu teksi, tetapi secara tidak langsung ia telah ‘mencuri’ pelanggan yang sama. Dalam erti kata yang lain, ia telah mengganggu periuk nasi pemandu teksi yang mungkin telah puluhan tahun menjadikan teksi sebagai kerjaya mereka untuk menyara keluarga.

Kemunculan pemandu teksi e-hailing yang sebahagian besarnya mungkin bukanlah pemandu teksi sejati telah menyebabkan pemandu teksi sejati kehilangan pendapatan yang banyak. Sedangkan pada masa sama, mereka mungkin perlu menanggung banyak kos yang lain, termasuk permit dan bayaran ansuran kenderaan.

Jadi rungutan dan rasa tidak puas hati pemandu teksi ada rasionalnya.

Bagaimanapun, pada akhirnya itulah sebahagian daripada realiti yang sedang dihadapi. Tidak semua pekerjaan akan kekal buat selama-lamanya. Ia berubah dengan berubahnya sifat masyarakat itu sendiri.

Melihat kepada diri kita sendiri, lihatlah betapa sukarnya kita membuka peti televisyen sekiranya kita kehilangan alat kawalan? Malah banyak daripada peralatan elektrik di rumah termasuk kipas dan pendingin hawa semuanya menggunakan alat kawalan automatik.

Ini bermaksud, banyak aspek dalam kehidupan kita semua sedang dikawal oleh teknologi. Semua orang inginkan sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah dan cepat.

Begitu jugalah dengan pengguna teksi. Tidak ramai lagi yang sanggup berpanas menunggu di tepi jalan untuk mendapatkan khidmat teksi. Mereka seboleh-bolehnya mahu dilayan seperti raja. Ia sama ada manusia moden kini terlalu sibuk, atau sememangnya kita juga sememangnya mahukan semuanya menjadi mudah.

Jadi, sama ada pemandu teksi gembira atau tidak dengan kewujudan pesaing baharu dalam dunia pekerjaan mereka, itulah realiti yang sedang berlaku.

Ia bukan sama ada kita telah memberikan layanan yang baik atau buruk kepada pengguna, atau wujudnya pesaing baharu yang sedang mencuri pelanggan sama, tetapi hakikatnya teknologi baharu yang telah mengubah kehidupan kita.

Selagi mana telefon pintar yang ada di tangan kita membolehkan kita melakukan segala-galanya, maka selama itulah kita sedang memasuki dunia serba baharu. Ia dunia yang sedang menghakis semua jenis pekerjaan manusia!