Isu yang dibangkitkan itu bukan senario yang benar-benar terjadi kerana ia lebih kepada permainan sentimen politik.

Namun, pada akhirnya kita perlu mengakui bahawa isu etnik dan identiti bangsa masih merupakan hal yang dominan dalam latar masyarakat kita.

Ia ibarat bara api yang boleh membakar jika tidak dibendung.

Pelantikan Peguam Negara yang datangnya daripada kalangan orang bukan Melayu misalnya telah dijadikan isu politik betapa bahayanya survival orang Melayu di negara ini.

Ia kemudiannya dihangatkan pula dengan beberapa isu sebelumnya, termasuklah pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan pelantikan Ketua Hakim Negara yang secara kebetulan bukannya daripada etnik Melayu Islam, sekali gus menyebabkan isu perkauman dijelmakan dengan pelbagai versi.

Tulisan kali ini tidaklah cuba mengulas apa yang sedang diperkatakan oleh masyarakat.

Dalam psikologi, sebenarnya isu kebimbangan terhadap ‘orang luar’ adalah fenomena sejagat. Ia berlaku di mana-mana.

Malah, kajian-kajian psikologi seperti itu menunjukkan bahawa bayi berusia tiga tahun lagi sudah mula menunjukkan reaksi kesukaan dan ketidaksukaan mereka terhadap orang lain yang bukan sama kelompok dengan mereka.

Prejudis

Sarjana masih berbahas sama ada isu prejudis ini memang sedia ujud dalam diri manusia dan kemudiannya akan meningkat atau berkurang.

Beberapa sebab cuba dihujahkan oleh mereka.

Pertamanya, pada peringkat anak-anak, adalah dikatakan bahawa mereka sudah mula memahami dua proses psikologikal utama iaitu identifikasi etnik dan pengkategorian kumpulan.

Dalam erti kata yang lain, seseorang anak sebenarnya sudah mula mengenali kelompok etnik mereka dan tahu membezakan antara seseorang yang sepatutnya mereka jadikan sebagai kawan atau sebaliknya dihindarkan.

Apa sahaja yang dianggap sama dengan mereka akan disukai dan apa yang dianggap berbeza biasanya tidak disukai walaupun tidaklah pula bermakna akan dibenci.

Sebab itu, anak-anak kecil lebih cenderung memilih untuk bermain bersama mereka kerana ia dianggap sebagai memiliki persamaan.

Keduanya, proses ini berlanjutan apabila seseorang itu mula berubah daripada alam kanak-kanak menjadi dewasa.

Apabila sejak kecil kita terdedah untuk terus memilih teman yang serupa dan menghindar mereka yang berbeza, ia akhirnya mewujudkan apa yang dikatakan sebagai ‘moral superiority’.

Dalam bahasa mudah, kumpulan kita sahaja yang baik dan sebaliknya mereka yang di luar sana adalah teruk.

Dalam kes yang ekstrem, apa sahaja yang dilakukan oleh kumpulan kita adalah benar dan kumpulan lain pula salah.

Semua ini walaupun pada asalnya ujud atas sifat biologikal dan psikologikal manusia, pada akhirnya persekitaran itulah yang memperkuatkan reaksi tadi.

Seseorang yang dilahirkan sebagai bangsa A misalnya, mungkin dibesarkan dalam lingkungan bangsanya juga.

Maka, secara tidak langsung, mereka yang datang daripada bangsa lain dianggap sebagai orang luar.

Jadi, untuk menghindar kebimbangan terhadap orang luar ini, setiap provokasi yang dikatakan kepada orang luar dianggap sebagai benar.

Sebaliknya, apa sahaja yang dihujahkan untuk menjaga kumpulan sendiri akan mendapat sokongan.

Jadi, semua daripada kita, secara umumnya mengalami proses yang sama sahaja.

Setiap hari kita dibesarkan dengan persekitaran yang sama.

Kita diminta untuk mengamalkan budaya yang didatangkan daripada satu generasi ke generasi yang lain dan bertutur pula dengan bahasa unik setiap bangsa.

Ia tidak pula bermaksud ia hal yang salah.

Jika tidak berbuat begitu, kita semua mungkin mengalami kecelaruan identiti.

Bayangkan betapa anehnya kita jika mengaku berbangsa Melayu tetapi tidak pula tahu berbahasa Melayu atau mengamalkan budaya Melayu.

Ia berlaku untuk setiap bangsa di dunia. Inilah uniknya identiti bangsa manusia.

Berbalik kepada beberapa isu perkauman yang sedang berlaku mutakhir ini, adakah ia hal yang janggal?

Sebenarnya tidak. Ia hal yang berlaku kepada setiap orang.

Asas psikologi

Tatkala ada sekelompok kumpulan tertentu yang meminta individu yang sama dengan kumpulan mereka menjawat jawatan utama negara, begitu jugalah yang dipinta oleh kumpulan yang lain.

Ia bertitik tolak kepada asas psikologi asas manusia, identifikasi etnik dan pengkategorian.

Ia juga berkisar dengan kumpulan sendiri sentiasa benar dan kumpulan luar berkemungkinan salah.

Sebab itulah walaupun selama ini mungkin ada yang tidak menghiraukan kepentingan bahasa Melayu tetapi apabila ada tokoh-tokoh utama negara ini telah tidak menggunakannya dalam acara tertentu, ia menjadi berita besar.

Ia mungkin bukan diasaskan kepada cintanya pengkritik ini dengan bahasa Melayu itu sendiri tetapi lebih kepada perlunya menjaga identiti bangsa.

Akhirnya, sesiapa pun kita, perlulah bersikap terbuka.

Apa sahaja isu yang berkaitan sentimen bangsa sejak akhir-akhir ini mungkin bukanlah permusuhan antara kita tetapi hanyalah sekadar reaksi psikologikal menjaga uniknya bangsa masing-masing.