Tetapi ia kemudiannya menjadi berita panas kerana ia telah ditafsirkan sesuai dengan kecenderungan pembaca tadi.

Terbaharu, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa telah menjadi polemik masyarakat kerana kononnya beliau telah menyarankan agar tiada lagi tangkapan yang akan dilakukan kepada mereka yang melakukan aktiviti maksiat. Dengan kata lain, ruang peribadi seseorang akan lebih diutamakan.

Walaupun kenyataan beliau ini sebenarnya dituturkan dalam konteks yang berbeza tetapi ia telah ditafsirkan dengan cara yang berbeza.

Seperti biasa, bagi pihak yang menyokong kenyataan beliau, pandangannya ini akan dilihat dengan konteks yang lebih positif. Sebaliknya bagi pihak yang menentang, kenyataan beliau dilihat dengan tafsiran yang berbeza.

Sebenarnya, dalam kehidupan harian, manusia selalunya akan mentafsirkan sesuatu perkara dengan cara masing-masing. Selalunya ahli psikologi melihat fenomena seperti ini dalam keadaan yang dinamakan sebagai ralat dan bias.

Ralat dan bias ini berlaku disebabkan banyak keadaan. Ada individu yang sebenarnya mungkin telah terdedah dengan bias pengesahan atau dalam istilah asalnya, confirmation bias.

Bias pengesahan ini berlaku apabila seseorang telah terlebih dahulu menjangkakan sesuatu, lalu maklumat-maklumat yang datang kemudiannya akan digunakan untuk mengesahkan andaian awalnya tadi.

Sebaliknya, sekiranya ada maklumat yang mungkin tidak berkaitan dengan andaian tadi, ia biasanya akan diabaikan begitu sahaja.

Sebab itulah manusia umumnya akan memberikan label tertentu terlebih dahulu kepada seseorang individu atau pasukan tertentu. Label-label seperti liberal, konservatif, korup, jumud dan sebagainya adalah sekadar kenyataan yang mungkin diwujudkan bagi mewujudkan sentimen andaian tadi.

Kontroversi

Jadi, apabila wujudnya tindakan atau kenyataan individu yang bersesuaian dengan label tadi, maka secara tidak langsungnya ia seolah-olahnya telah mengesahkan andaian awal tadi.

Dalam konteks kenyataan menteri tadi, apa yang dinyatakan beliau mungkin hanya sekadar kenyataan kecil daripada puluhan kenyataan lain yang telah dibuatnya sebelum ini.

Bagaimanapun, mungkin disebabkan kenyataan-kenyataan sebelum ini tidak relevan dengan andaian awal sesetengah pihak, maka ia diabaikan sahaja.

Sebaliknya dengan hanya satu kenyataan sekalipun ringkas, ia boleh mencetuskan kontroversi jika ia memenuhi jangkaan awal seseorang.

Sebenarnya dalam banyak kehidupan manusia, kita sebenarnya terdedah dengan banyak bias yang lain.

Kita cenderung untuk beranggapan bahawa apa yang kita suka, sebenarnya disukai juga oleh majoriti orang lain.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Profesor Lee Ros dari Universiti Stanford sekumpulan pelajar telah diminta berjalan di sekitar kampus selama 30 minit dengan membawa bersama papan tanda slogan Eat at Joe’s.

Mereka diberitahu bahawa mereka tidaklah diminta untuk terlibat dengan aktiviti berkaitan tetapi hanya sekadar untuk menarik orang lain bagi melibatkan dalam promosi tersebut.

Hasil kajian menunjukkan bahawa mereka yang sanggup untuk membawa slogan tadi percaya bahawa 62 peratus pelajar yang lain berminat untuk membawa papan tanda tadi.

Sebaliknya bagi mereka yang tidak berminat untuk membawa papan tanda tadi, mereka percaya bahawa hanya sekitar 33 peratus orang lain akan menyertai aktiviti berkenaan.

Apa yang kita pelajari daripada kajian ini?

Sebenarnya ini adalah sebahagian daripada fenomena bias yang berlaku dalam kehidupan kita sehari-harian. Fenomena yang dinamakan sebagai False Consensus Effect ini biasanya berlaku apabila kita percaya bahawa orang lain juga adalah seperti kita.

Apabila kita menyukai sesuatu, maka orang lain juga begitu. Jika kita tidak menyukai sesuatu, maka orang lain adalah seperti diri kita juga.

Bias ini jugalah yang menyebabkan kita sebagai pembaca adakalanya tidak dapat mengawal emosi apabila membincangkan sesuatu berita.

Berita yang asalnya mungkin tidaklah begitu sensasi, sering kali akan disebarkan dengan perbualan seperti “banyak orang yang marah” atau ‘seluruh rakyat rasa tak berpuas hati’ dan sebagainya.

Hakikatnya, sebahagian kecil orang sahaja yang berpandangan sedemikian, sedangkan majoritinya tidak.

Bagaimanapun, pada akhirnya itulah yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Perkara kecil adakalanya dilihat besar sesuai dengan kecenderungan kita. Perkara yang besar mungkin diabaikan kerana ia tidak begitu sepadan dengan minat kita.

Semua kita sebenarnya sama sahaja. Kitalah yang menentukan apa yang kita sukai. Sesuatu berita mungkin bukanlah berita jika semua orang mempercayai bahawa setiap daripada kita tidak pernah sama. Kita mentafsir sesuatu dengan kaca mata kita sendiri.