Tahniah kepada pihak penganjur dan juga pihak berkuasa yang berjaya mengendalikan perhimpunan itu secara aman dan tanpa sebarang kekacauan.

Sebenarnya di Malaysia, demonstrasi bukanlah hal baharu. Pada tahun 1974, berlaku demonstrasi Baling yang digerakkan oleh kumpulan mahasiswa yang sebahagian besar daripada mereka kini sama ada merupakan ahli politik atau pemimpin negara.

Kita juga melalui beberapa siri demonstrasi yang lain. Antaranya termasuklah demonstrasi sejurus pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Kita juga sudah beberapa kali berhadapan dengan siri demonstrasi yang lain.

Sekalipun demonstrasi kini adalah sebahagian daripada cara masyarakat menunjukkan rasa tidak puas hati atau sokongan terhadap sesuatu isu, adakah benar peserta yang mengikutinya tahu dengan mendalam mengenai isu yang diperjuangkan itu?

Mungkinkah kehadiran mereka itu sebenarnya hanyalah reaksi psikologi?

Bayangkan, setiap kali menaiki kapal terbang atau bas, kita tiba-tiba terdorong untuk cepat masuk atau keluar semata-mata kerana melihat orang lain semuanya bangun.

Kita juga berasa perlu tergesa-gesa seperti mereka yang lain seolah-olah jika terlambat akan menyebabkan kehilangan tempat duduk.

Mungkin juga kita tidak sempat untuk mengambil bagasi jika terlambat keluar. Sedangkan hakikatnya, setiap penumpang telah disediakan nombor tempat duduk.

Mengapa kita bereaksi sedemikian?

Sebenarnya itulah yang dikatakan sebagai fenomena keakuran.

Mengikut

Kita terdorong secara spontan untuk melakukan apa yang dilakukan orang lain walaupun tidak begitu pasti tujuannya.

Fenomena keakuran selalu sahaja berlaku apabila seseorang itu berada dalam kumpulan orang ramai.

Ia menjadi lebih mudah berlaku apabila mereka yang ramai itu terdiri daripada orang yang mempunyai cita rasa sama atau dianggap sebagai sebahagian daripada ahli kumpulan.

Dalam kes yang ekstrem, fenomena keakuran ini adakalanya boleh menjangkiti orang lain. Fenomena itu dinamakan sebagai contagious atau dalam bahasa orang awam, ia berpindah pula kepada orang lain.

Khususnya, apabila berita mengenai sesuatu isu tadi telah tersebar sama ada melalui perbualan orang ramai atau disiarkan secara meluas dalam laporan berita.

Antara kisah yang paling klasik ialah kejadian yang berlaku di Strasbourg, Perancis pada tahun 1518. Ia bermula apabila seorang wanita, Troffea memulakan aksi tari di sebatang jalan di bandar tersebut.

Tanpa dapat diterangkan dengan begitu jelas sebabnya, aksi tariannya itu kemudian telah diikuti oleh beberapa orang lain yang kebanyakannya ialah wanita.

Daripada hanya beberapa orang dan dalam masa seminggu, ia diikuti pula seramai 34 orang yang lain dan kemudian mencecah seramai 400 dalam masa sebulan.

Kebanyakan peserta tarian itu berakhir dengan serangan jantung dan pelbagai isu lain termasuk kematian.

Mengapa hal seumpama itu berlaku?

Sebenarnya, ia adalah reaksi psikologikal yang menyebabkan adakalanya manusia teruja untuk mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa mengetahui sebabnya.

Fenomena keakuran itu adakalanya menyebabkan kita membuat keputusan tanpa berfikir panjang.

Misalnya, dalam mesyuarat, kita terdorong untuk bersetuju atau menolak sesuatu kerana orang lain juga berbuat demikian.

Dalam keanggotaan politik, ahli-ahli biasanya mengikut sahaja apa yang diputuskan oleh pemimpin mereka.

Mereka hanya akan mengulang semula apa yang diperkatakan oleh ketua tadi tanpa menilai sama ada pandangannya betul atau salah.

Walaupun sesetengah orang mungkin berpandangan terdapat pengikut yang berbuat demikian kerana ingin untuk membodek pemimpin mereka, hakikatnya mungkin tidak.

Motif

Adakalanya manusia ini bereaksi terhadap sesuatu tanpa mereka sendiri memahami puncanya.

Dalam konteks beberapa siri demonstrasi di Malaysia, banyak daripada kita mungkin telah terperangkap dengan isu keakuran itu. Adakalanya, peserta mengikuti demonstrasi bagi isu yang tiada isu.

Misalnya, dalam beberapa siri demonstrasi sebelum ini gerakan baju kuning dan baju merah selalu bertembung dalam situasi seperti itu.

Ada pengikut yang menyertai demonstrasi tadi bukan kerana untuk menyatakan suara hati mereka, sebaliknya ingin menunjukkan siapa yang lebih kuat.

Akhirnya, motif sebenar demonstrasi tadi telah lari daripada matlamat asal.

Orang politik dalam apa keadaan pun, mereka sangat bijak dalam hal untuk membangkitkan sesuatu isu supaya ia kelihatan seperti terdapatnya isu.

Bagi kebanyakan pengikut yang berada dalam keadaan keliru dan tidak memahami banyak perkara, adalah lebih mudah untuk mereka akur dengan sentimen yang ditimbulkan.

Akhirnya, kita hanya berbangga dengan jumlah kehadiran besar dalam satu-satu demonstrasi sedangkan ia bukanlah petanda sokongan atau bantahan terhadap sesuatu isu.

Ia mungkin sekadar manifestasi keakuran. Sekitar penghujung 1990-an, begitu kerap demonstrasi diadakan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, perubahan politik tanah air hanya berlaku pada tahun 2018.

Apapun, isu yang muncul pada tahun 1990-an sudah dilupakan dan masyarakat sudah bercakap hal yang lain.

Oleh DR. MOHD. AWANG IDRIS