Acara tersebut diadakan bersempena meraikan ulang tahun ketiga pembukaan Funky Fresh yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Funky Fresh, Siti Hadzrah Abd. Rahim berkata, acara tahunan tersebut bertujuan memberi penghargaan kepada para pengunjung setia studio berkenaan.

Jelasnya, acara F3V memberi peluang kepada para peserta yang kebanyakan terdiri daripada pengunjung Funky Fresh mengadakan rutin tarian sambil diiringi alunan muzik rancak.

“Pada tahun ini, F3V berjaya mengumpul lebih 300 orang peserta yang kebanyakannya terdiri daripada peminat senaman tarian di sekitar Lembah Klang.

“Acara ini berbeza dengan rutin di studio kerana ia diserikan dengan kehadiran jurulatih-jurulatih hebat dari seluruh negara,” katanya ketika ditemu bual K2 sebelum F3V bermula.

Penjagaan kesihatan

Acara berkenaan mendapat tajaan dalam bentuk wang tunai oleh syarikat pengeluar produk kesihatan berasaskan buah tin, Figgaro Malaysia.

Acara tersebut diserikan dengan kehadiran pelakon drama popular, Fendy Bakry yang mengadakan aktiviti bertemu dan bermesra bersama peminat.

Menurut Siti Hadzrah penganjuran acara berkenaan diharap dapat menyebarkan mesej positif mengenai penjagaan kesihatan menerusi aktiviti senaman tarian.

Dia memaklumkan, aktiviti tarian boleh disifatkan sebagai satu rejim senaman yang menarik dan menyeronokkan kerana ia diiringi muzik sekali gus mengelak rasa bosan.

“Kali ini kami memberi tumpuan kepada rutin zumba sahaja. Peserta acara ini dapat bersenam selama dua jam dengan mengikut pergerakan daripada jurulatih di atas pentas.

“Kami menjemput beberapa jurulatih zumba terbaik di negara ini antaranya ialah Sync Khalid, Mixer Adi, Smt Muzry dan Hamka.

“Acara ini bukan sahaja berjaya menarik penyertaan kaum hawa, malah ia turut disertai oleh golongan lelaki dan kanak-kanak,” katanya.

Acara F3V turut dimeriahkan dengan gerai-gerai jualan yang berkaitan dengan aktiviti tarian dan kesihatan.

Salah seorang peserta, Siti Sahara Salimon, 34, berkata, acara tersebut wajar diteruskan kerana ia banyak memberi manfaat kepada para peserta yang rata-rata terdiri daripada wanita bekerjaya.

Wanita yang berkhidmat di sektor perbankan di ibu negara itu menambah, acara tersebut memberi peluang kepada mereka yang baharu ingin berjinak-jinak dengan senaman tarian zumba.

“Saya sangat teruja dapat menyertai acara ini buat kali pertama. Sebagai salah seorang pengunjung Funky Fresh, saya berasa terpanggil untuk menyertai acara ini.

“Pada saya, acara ini sangat bermanfaat selain mengeratkan silaturahim antara penggiat zumba,” jelasnya.