Sama ada bercuti di dalam atau luar negara, perancangan yang rapi dan persediaan awal merupakan antara langkah utama yang perlu dititikberatkan.

Ia juga penting bagi memastikan percutian yang direncana tidak berakhir sebagai pembaziran dan merugikan.

Laporan Tinjauan Harga Perjalanan 2019 mendedahkan, hasil daripada data penerbangan dunia Airlines Reporting Corporation (ARC) dan trend penginapan oleh Kumpulan Expedia merumuskan pentingnya faktor masa untuk menikmati atau memperoleh penjimatan yang secukupnya dalam pelan pelancongan.

Pengarah Urusan Data Sains di ARC, Chuck Thackston berkata, kira-kira tiga suku perjalanan, penjimatan boleh-ukur dapat diperoleh oleh pelancong yang melanjutkan perjalanan pada hari bekerja dengan menambah satu hari penginapan pada malam Sabtu.

“Peluang penjimatan boleh-ukur ini dapat diperoleh dengan melanjutkan perjalanan pertengahan minggu hingga ke hujung minggu adalah satu penemuan baharu kami dan ianya amat berharga bagi pelancong.

“Pemain-pemain industri telah membincangkan mengenai bleisure (perniagaan + masa lapang) sejak kebelakangan ini, tetapi kami dapat mengira jumlah penjimatan sebenarnya bagi para pelancong yang menggunakan konsep ini. Ia adalah sesuatu yang baik bagi mereka yang suka melancong dan mereka seharusnya menggunakan konsep ini dalam rancangan perjalanan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Harga lebih murah

Tambahnya,laporan itu turut menonjolkan bagaimana para pelancong yang bijak dapat menggandakan nilai sebenar wang mereka secara strategik bukan sahaja ketika menempah tiket penerbangan.

Jelasnya lagi, mereka juga peka memilih masa permulaan perjalanan mereka. Ia juga mendedahkan trend celik pelancongan di mana rakyat Malaysia boleh menggunakan untuk mendapatkan tiket penerbangan khas atau premium dengan harga yang lebih murah.

Antara tip penjimatan dalam perjalanan yang berasaskan faktor masa untuk pelancong Malaysia adalah seperti berikut:

  • Tempah perjalanan pelancongan anda tiga minggu lebih awal untuk penjimatan terbaik.
  • Tempah tiket penerbangan kelas ekonomi dan Premium/Bisnes pada hari Ahad untuk penjimatan sehingga 20 peratus.
  • Jimat lebih daripada 10 peratus bagi tiket penerbangan kelas ekonomi apabila anda memulakan perjalanan pada hari Khamis.
  • Jimat sehingga lima peratus bagi tiket penerbangan kelas Premium/Bisnes apabila anda memulakan perjalanan pada hari Jumaat.
  • Tambah satu malam penginapan pada hari Sabtu ketika perjalanan pertengahan minggu anda jika bermula dari hari Rabu, untuk jimat lebih daripada 10 peratus bagi tiket penerbangan, kadang-kadang lebih banyak diskaun dapat diperoleh jika ke destinasi perniagaan yang popular.