Setiap satu jalan yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengutip balik hutang daripada mereka yang terpelajar ini menuju jalan buntu.

Lebih 2.1 juta individu telah membuat pinjaman daripada perbadanan ini sejak ia diperkenalkan pada tahun 1997.

Perbadanan ini berjaya memberi peluang kepada pelbagai golongan masyarakat untuk mencapai cita-cita mereka menjadi individu yang berpendidikan.

Mana salahnya sistem yang pada mulanya diperkenalkan untuk membantu semua rakyat Malaysia mendapatkan peluang pelajaran ini?

Kenapa program yang diperkenalkan untuk membantu rakyat Malaysia ini dikecam oleh pelbagai pihak sehingga menjadi salah satu isu negara yang perlu didebatkan di Parlimen dan masih susah untuk ditangani dengan baik?

Persoalannya ialah siapa yang bersalah? Adakah kerajaan yang memberikan pinjaman bersalah atau orang yang membuat pinjaman yang bersalah?

Isunya bukan kerana kerajaan tidak memberikan pinjaman dan kemudiannya memperkenalkan pelbagai polisi untuk mengutip balik hutang berkenaan.

Namun, perkara yang menjadi permasalahan ialah peminjam yang tidak mahu membayar balik wang yang telah mereka pinjam.

Perbuatan segelintir golongan yang ingkar ini menyebabkan kerajaan terpaksa menjalankan pelbagai langkah yang drastik termasuklah nama mereka disenarai hitam Jabatan Imigresen dan dihalang ke luar negara.

Sebenarnya, perkara pinjaman ini tidak akan menjadi isu jika individu yang terlibat mempunyai tanggungjawab dan etika dalam diri sendiri untuk melangsaikan hutang yang suatu ketika dahulu membantu mereka mencapai impian mengejar ilmu.

Apabila seseorang individu berhasrat untuk melanjutkan pelajaran, PTPTN dilihat sebagai jalan penyelesaian kepada masalah kewangan tetapi kenapa pula selepas menamatkan pelajaran, hutang ini dilihat sebagai musuh. Malah hendak menyebut nama PTPTN pun tidak sudi.

Anak-anak muda dan belia atau siapa sahaja yang pernah membuat pinjaman PTPTN ini harus ingat bahawa anda yang berhutang.

Jadi, anda yang harus bayar. Anda bertangguh macam mana pun dengan memberi seribu satu alasan, satu hari nanti anda yang harus bayar. Tiada siapa yang akan tolong bayarkan untuk anda.

Biarlah kerajaan datang dengan pelbagai program dan sistem, kalau peminjam itu sendiri tidak mempunyai etika untuk melakukan pembayaran, semua usaha kerajaan ini adalah sia-sia.

Peminjam PTPTN ini harus sedar bahawa kegagalan mereka untuk membuat pembayaran sebenarnya menyebabkan mereka menjadi punca menutup peluang orang lain belajar. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri wahai anak muda.

Kejar impian

Tolong jangan jadi individu yang menghalang kejayaan orang lain. Ramai lagi golongan muda yang terkapai-kapai di luar sana dan mengharapkan bantuan kerajaan untuk menjejakkan kaki ke menara gading dan seterusnya mengejar impian mereka.

Bantulah kerajaan untuk membantu generasi muda lain memajukan diri.

Belajar untuk pikul tanggungjawab. Berpegang pada etika berani pinjam berani bayar. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Kalau bukan hari ini bila lagi? Hutang tetap hutang. Beri diskaun, beri kelonggaran atau tunggu gaji sampai RM4,000 kalau tidak mula bayar sampai bila-bila pun hutang itu tidak akan habis.

Masukkan hutang PTPTN ini dalam bajet bulanan anda. Bayar seperti anda membayar ansuran kereta atau rumah. Percayalah, lama-lama anda akan terbiasa dan tidak akan berasa terbeban.

Pujian yang tinggi harus diberikan kepada mereka yang walaupun tidak mempunyai pendapatan sehingga RM4,000 tetapi sanggup membayar dan melangsaikan hutang mereka.

Golongan ini saya anggap pandai dalam membuat percaturan dan bajet dengan gaji mereka serta merupakan kumpulan yang takut untuk berhutang.

Mereka hanya berhutang kerana terpaksa dan sedaya upaya berusaha melangsaikan bebanan yang mereka tanggung di bahu walaupun berpendapatan rendah. Sekalung tahniah dan syabas.

Ingat anak muda, kalau bukan hari ini, esok anda tetap kena bayar. Jadi, ayuh mulakan daripada sekarang dan selamat maju jaya.