Ia tumbuh pada batang atau ranting pokok lain dan mendapat makanan daripada reputan daun kayu.

Spesies tersebut tergolong dalam keluarga tumbuhan Orchidaceae. Ia juga dikenali sebagai spesies Bulbophyllum densiflorum.

Perkataan Bulbophyllum berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud Bulb-leaved. Ia merujuk kepada bentuk daunnya yang mirip daun pokok bebawang.

Perkataan Singaporeanum pula merujuk kepada perkataan Singapore (Singapura) tempat ia mula-mula ditemui.

Sebab itulah ia dikenali juga sebagai Singapore Bulbophyllum.

Ia juga dikatakan tumbuh secara meliar di hutan belantara negeri Johor dan Kepulauan Borneo.

Namun, kini spesies orkid liar dikatakan hampir pupus.

Batangnya yang membesar di bahagian bawah dan leper pada bahagian hujung itu dikenali sebagai pseudobulb.

Daunnya pula yang berukuran 30 sentimeter (sm) panjang dan 4sm lebar berwarna hijau tua berkilat di bahagian atas dan sedikit ungu di bahagian bawah itu tumbuh pada hujung batangnya.

Bunganya memiliki bentuk menarik daripada jenis majmuk yang terdiri daripada banyak kuntuman bunga cantik bersaiz kecil, berwarna hijau ungu pucat dengan bintik-bintik ungu pekat yang tumbuh dalam satu gugusan.

Namun, bunganya dikatakan mengeluarkan aroma agak kurang enak seperti bau bangkai ikan.

Menariknya, tumbuhan tersebut juga berbuah.

Pembiakan:

Pokok orkid liar ini boleh ditanam menggunakan kaedah belahan rumpun pokok seperti berikut:

1) Belah rumpun pokoknya kepada beberapa rumpun lebih kecil yang mengandungi beberapa batang dan tunas anak pokok.

2) Tanam setiap rumpun sama ada dalam pasu atau lekatkannya pada batang kayu menggunakan medium tanaman yang bersesuaian.

Gunakan medium tanaman daripada jenis lumut Sphagnum moss dan serat kelapa.

Tutupi bahagian akar tumbuhan ini dengan medium tanaman tersebut, ikat dan letakkan dalam pasu atau diikat kemudian lekatkannya pada batang kayu.

Ia juga dipercayai boleh dibiakkan menggunakan biji benih.

Penjagaan:

1) Ia memerlukan pendedahan kepada cahaya matahari yang banyak tetapi sedikit terlindung untuk tumbuh subur bagi menggalakkan proses pembungaan.

2) Siram dua kali sehari pada hari panas. Sembur pokok dengan air untuk mengekalkan kelembapan medium tanamannya.

Siram apabila perlu sahaja pada hari hujan.

3) Gunakan baja organik seperti najis ayam atau kelawar atau baja kompos lain yang siap diproses.

Baja khas untuk tanaman orkid boleh juga digunakan dengan mengikuti arahan dan syor mengenai penggunaannya.

Idea Pameran:

Pokok ini amat sesuai dan cantik ditanam pada batang atau ranting kayu pokok lain. Ia juga sesuai ditanam di dalam pasu.

Pokoknya sesuai untuk taman bertema tropika atau nusantara.

Ia nampak cantik seperti tempat semula jadinya iaitu di hutan tropika.

Tip:

Elakkan pseudobulb yang baharu tumbuh diserang fungus dengan mengurangkan siraman. Letakkan ia di tempat yang mempunyai sistem peredaran udara yang baik.