MUHAMMAD ADAM
MUHAMMAD ADAM

Daging kambing mengandungi paras kolesterol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, sekali gus menjadikan ia sebagai makanan alternatif daging merah terbaik.

Sebagai salah satu restoran yang menyajikan daging sebagai menu utama, NY Steak Shack (NYSS) memperkenalkan barisan menu baharu mereka yang dikenali sebagai Daging Sizzling Sensasi.

Pengurus Besar Jenama NYSS, Muhammad Adam Mah berkata, di bawah Daging Sizzling Sensasi terdapat empat pilihan menu istimewa yang boleh dipilih pelanggan iaitu daging noisette, daging noisette dengan kambing salai, kambing noisette dengan ayam cevapi dan kambing noisette dengan udang bawang putih.

“Setiap menu itu menyajikan daging kambing tanpa tulang yang digulung bagi memastikan isi-isi daging tersebut mampat dan menyeluruh.

“Lebih menarik, pelanggan yang memilih mana-mana hidangan Kambing Sizzling Sensasi boleh mendapatkan dua pilihan makanan sampingan seperti kentang goreng, kentang lenyek, jagung, salad, sayuran campuran atau nasi labu,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis memperkenalkan hidangan itu di pusat beli-belah Sunway Velocity, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, terdapat juga daging lembu bermutu tinggi, darling downs wagyu striploin.

Hidangan Kambing Sizzling Sensasi mula dijual sejak 16 Julai lalu sehingga 31 Ogos ini.

Harga yang ditawarkan bagi kambing noisette ialah RM51.79, kambing noisette dengan daging salai (RM48.02), kambing noisette dengan ayam cevapi (RM48.02) dan kambing noisette dengan udang bawang putih (RM49.91).

Tambah Muhammad Adam, NYSS yang beroperasi sejak tahun 2014 mempunyai 10 buah cawa­ngan di seluruh negara. Ia merupakan restoran makanan stik pertama di Malaysia yang memperoleh sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia .

Selain itu, NYSS dijangka membuka tiga lagi cawangan baharu mereka iaitu di Melaka, Pahang dan Johor pada tahun ini.