Anugerah tersebut diberikan atas inisiatif SCland membangunkan sebuah kawasan khusus buat pembangunan e-dagang di negara ini yang terletak di Kota Damansara.

Pengerusi SITEC, Datuk Teng Chang Khim berkata, anugerah berkenaan sangat bermakna bagi merancakkan lagi aktiviti e-dagang di negara ini.

Katanya, anugerah tersebut juga diharap mampu menarik lebih ramai usahawan mengorak langkah ke arah ekosistem digital dengan kemudahan yang ditawarkan di kawasan pembangunan baharu dikenali sebagai Hub e-Dagang SITEC (EM Hub).

“EM Hub bakal menawarkan sebuah tempat perniagaan yang mesra buat perniagaan berkonsepkan digital sepenuhnya.

“Ia bakal dilengkapi dengan fasiliti ekonomi digital seperti kemudahan pembayaran, perkhidmatan logistik, latihan pasaran atas talian dan ruang kerja kondusif,” ujarnya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari kepada Pengerusi Alcom Group Berhad (Alcom), Datuk Seri Subahan Kamal.

Pelabur asing

SCland merupakan sebuah syarikat milik penuh Alcom. Pada majlis tersebut, Amirudin turut memecah tanah kawasan EM Hub.

Projek bangunan dua blok setinggi enam tingkat itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022 dengan keluasan 3.8 hektar. Ia akan dijual pada harga bermula RM800,000 berkeluasan 204 hingga 372.9 meter persegi.

Menurut Chang Khim, projek berkenaan diharap mampu menarik lebih banyak pelabur asing terutamanya dari China dan Asia Tenggara supaya melabur dalam industri perniagaan digital di negara ini.

Ujarnya, berdasarkan kajian yang dilakukan, e-dagang didapati bakal menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.4 peratus menjelang tahun 2020.

“Sejak empat tahun lalu, SITEC komited dalam pembangunan e-dagang di negara ini. Kami sentiasa mencari jalan untuk menambah nilai terhadap industri ini,” ujarnya.