Justeru, bersempena dengan bulan Ramadan ini, Restoran Rallegra yang terletak di Taman Ekuestrian, Putrajaya ingin berkongsi kemeriahan berbuka puasa bersama orang ramai.

Restoran Rallegra menyajikan lebih 150 jenis menu dengan 12 gerai makanan dan masakan terus dari gerai.

Cef Sous, Restoran Rallegra, Shahiral Azwan Shahbudin berkata, pihaknya menawarkan pelbagai pilihan menu antarabangsa dan cita rasa tempatan.

“Antara menu istimewa yang diketengahkan pada tahun ini ialah lidah lembu bakar, ayam shawarma, kambing panggang dan daging panggang kuah asam.

“Bagi penggemar juadah tradisional pula, kami menyediakan ikan keli berlada, siput sedut cili api batang keladi dan ayam daun selasih,”katanya ketika ditemui Kosmo! di restoran tersebut baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, aneka hidangan bufet yang lain seperti kuetiau goreng, laksa Kedah dan martabak.

Restoran tersebut yang boleh memuatkan 300 orang pada satu-satu masa, menawarkan harga RM78 bagi dewasa dan RM39 untuk kanak-kanak.

Selepas selesai menikmati juadah berat, para pelanggan turut dihidangkan dengan kudap-kudapan seperti keropok lekor, pisang goreng dan ubi keledek.

Bukan itu sahaja, bagi menambah pemanis dalam hidangan anda, pihak Restoran Rallegra juga menyajikan aneka pemanis mulut ala kampung.

Antaranya, pengat pisang, tapai pulut daun getah dan lepat pisang inti pisang.