Adakalanya dengan kelebihan ini, perkongsian adalah kaedah yang baik bukan sahaja untuk memantapkan ilmu sedia ada tetapi menarik minat lebih ramai orang supaya meminati sesuatu bidang.

Menjadi platform untuk pengurusan bakat dan latihan kepakaran, Edify Trainers.Com melancarkan Kempen Kongsi Kepakaran: Menjana insan berkebolehan dalam usaha untuk mengumpulkan individu dengan apa jua kepakaran selain berkongsi dengan orang ramai.

Pengarah Urusan Edify Trainers.Com,, Muhammad Anas Danial Noradzman, 27, memberitahu, kempen itu merupakan program jangka masa panjang dalam usaha pihaknya untuk mencari lebih ramai jurulatih kepakaran yang boleh disalurkan kepada mana-mana seminar atau organisasi.

“Kempen ini selaras dengan tujuan penubuhan syarikat kami iaitu sebagai platform data jurulatih kepakaran dan pada masa yang sama menganjurkan program perkongsian kepakaran kepada orang awam.

“Kami memerlukan lebih ramai individu pakar dalam apa jua bidang sama ada kerjaya, kemahiran atau pembangunan diri agar boleh memberi manfaat kepada mereka yang ingin belajar untuk mendalami apa jua bidang berkaitan,” katanya ketika ditemui K2 di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, sejak penubuhan Edify Trainers.Com pada Februari tahun lalu, pihaknya telah mempunyai lebih daripada 50 jurulatih kepakaran dalam pelbagai bidang yang disenaraikan dalam pangkalan data dan menjadi jurulatih untuk pelbagai jenis seminar, kursus mahupun konvensyen.

Konsep

Jelasnya lagi, konsep yang diketengahkan itu membuka peluang kepada orang ramai yang mempunyai kepakaran dan berkongsi ilmu mereka.

Sehingga hari ini, Edify Trainers.Com mempunyai cabang perkongsian kepakaran yang merangkumi kerjaya, perniagaan, kemahiran, kendiri dan kesihatan.

Jelas Muhammad Anas lagi, usaha yang dilaksanakan Edify Trainers.Com juga merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya untuk membantu mempertingkatkan portfolio kerjaya orang ramai.

“Dengan perkongsian ilmu ini, kita mahu membantu orang ramai mendapat peluang belajar apa yang mereka tidak peroleh ketika di kelas seperti pengalaman hidup mahupun warisan keluarga.

“Setiap kemahiran mempunyai kelebihan sendiri yang pada masa mungkin dapat membantu mengubah kehidupan orang lain ke arah lebih baik. Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman web kami, www.edifytrainers.com atau WhatsApp menerusi talian 018-352 1247,” ujarnya.