Jumlah peminat e-sukan dijangka bertambah kepada 19.8 juta pada tahun ini berbanding 9.5 juta pada 2016. Pada masa sama, e-sukan memiliki industrinya yang tersendiri melibatkan pencipta perisian, pemain profesional, pengulas dan pengusaha pusat permainan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, Suimi Abd. Majid, dua syarikat tempatan telah memohon untuk mendapatkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) baru-baru ini.

“Menerusi permohonan itu, pihaknya menyasarkan pada November depan untuk justifikasi NOSS bagi e-sukan. Fokus kami adalah untuk melahirkan pemain yang mempunyai kemahiran, isu-isu keselamatan dan jurulatih bertauliah dalam bidang e-sukan.

“Ia akan melibatkan antara lapan hingga 12 orang pakar tempatan dalam usaha merumus, menggalak dan menyelaras strategi serta program latihan kemahiran sejajar dengan keperluan pihak industri berkenaan,” katanya kepada K2 ketika ditemui di pejabatnya di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

NOSS merupakan dokumen yang menggariskan keterampilan atau kompentensi yang diperlukan oleh seseorang pekerja mahir yang bekerja di Malaysia bagi sesuatu bidang dan tahap pekerjaan.

Majikan yang mengguna pakai NOSS dapat menentukan tahap kemahiran tenaga kerja mahir yang mereka perlukan. NOSS juga menyediakan panduan dalam senarai tugas dan skop kerja sesuatu pekerjaan, sekali gus majikan dapat menilai prestasi pekerja mereka.

Penggunaan NOSS juga dapat menjimatkan kos dan masa melatih semula pekerja selain meningkatkan kualiti produktiviti, inovasi dan daya saing seseorang pekerja. Selain itu, ia memberi maklumat peluang kerjaya dalam sektor yang berkaitan.

Suimi berkata, kewujudan NOSS menyediakan pembangunan kurikulum latihan yang tepat dan memenuhi kehendak industri. Justeru, pusat latihan boleh mereka bentuk program latihan sepenuh masa atau disesuaikan sejajar dengan keperluan industri.

Efektif

“Institusi latihan kemahiran juga dapat memahami dengan lebih jelas terhadap kemahiran yang diperlukan oleh industri. Mereka juga mempunyai asas untuk menilai keperluan latihan semula pengajar bagi memenuhi kehendak industri semasa. Nasihat kerjaya yang tepat juga boleh diberi dengan efektif kepada pelatih dengan adanya NOSS.

“Ekoran itu, NOSS dapat membantu perkembangan e-sukan dengan lebih tersusun sekali gus melahirkan pemain-pemain dan jurulatih yang hebat. Selain itu, e-sukan semakin mendapat tempat dalam kalangan orang muda dan amat penting kerajaan menyokong perkembangan sukan ini yang menjanjikan masa depan kerjaya yang cerah,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah JPK, Mohd. Yazid Awalludin memberitahu, pembangunan NOSS meliputi 21 seksyen industri yang terdapat di negara ini berasaskan kepada Malaysia Standard Industry Classification (MSIC). Antara sektor berkenaan ialah Elektrikal, Elektronik, Telekomunikasi dan Industri Penyiaran; Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Pemesinan dan Peralatan.

Selain itu katanya, Pembungkusan, Percetakan, Perubatan dan Farmaseutikal, Hospitaliti dan Pelancongan juga antara sektor yang diliputi NOSS. Bagi memastikan kandungan NOSS sentiasa relevan dengan perubahan dan perkembangan teknologi, elemen Revolusi Industri 4.0 juga diterapkan semasa pembangunan NOSS.

“Dalam melahirkan sumber manusia berkemahiran dan berdaya saing di peringkat nasional dan global, JPK telah membangunkan sejumlah 148 NOSS sepanjang tahun 2018/2019 daripada pelbagai sektor kemahiran menjadikan jumlah keseluruhan NOSS yang masih berkuat kuasa sehingga 30 Januari lalu adalah sebanyak 1,942 NOSS.

“NOSS yang menjadi denyut nadi kepada Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia telah membolehkan sejumlah 4,939 program latihan ditawarkan di 1,389 pusat bertauliah awam dan swasta dan bagi tahun 2019, sejumlah 19,400 Sijil Kemahiran Malaysia telah dikeluarkan meliputi Tahap 1 sehingga Tahap 5,” jelasnya.