Produktiviti kawasan berhasil pula dijangka meningkat daripada 9.6 tan metrik sehektar pada tahun 2010 kepada 12.9 tan metrik sehektar pada 2020, manakala eksport buah-buahan daripada 830, 000 tan metrik pada tahun 2010 kepada 1.04 juta tan metrik pada tahun 2020.

Tumpuan jelas diberikan kepada peningkatan produktiviti dan pengeluaran. Sehingga tahun 2016, keluasan penanaman durian di Malaysia adalah seluas 66,000 hektar dengan pengeluaran sebanyak 302,000 tan metrik.

Sehingga kini, sebanyak 204 varieti durian telah didaftarkan di bawah Jabatan Pertanian. Antara varieti durian yang popular ialah varieti Durian Raja Kunyit (D197) atau lebih dikenali dengan nama Musang King, D24, varieti Hjh. Hasmah atau IOI (D168), Udang Merah (D175) dan varieti Duri Hitam (D200).

Jabatan Pertanian telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa projek untuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan negara seperti projek Bantuan Tanam Semula Buah-Buahan Terpilih, projek kluster durian, rambutan dan mangga harumanis yang telah dimulakan sejak empat tahun lalu. Kesemua projek ini telah diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas.

Durian yang juga dikenali dengan nama saintifiknya Durio zibethinus Murr merupakan raja segala buah. Ia antara tanaman buah-buahan yang semakin terserlah nilai komersial kerana mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar durian dari dalam dan luar negara.

Selaras dengan perkembangan yang positif, pelbagai peluang boleh diteroka.

Dengan permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan eksport, kualiti dan varieti durian yang baik serta penjenamaan Malaysia sebagai pengeluar durian terbaik di dunia, industri ini dilihat boleh memberi pendapatan yang besar kepada usahawan tempatan. Ia dilihat berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu yang memberi manfaat besar kepada sosioekonomi petani.

Kerjasama

Pembangunan yang dirancang merangkumi peluasan kawasan tanaman durian sedia ada dan baharu melalui Transformasi Ladang secara pengurusan berpusat seperti koperasi dan syarikat swasta.

Melalui kaedah ini, ia dapat memudahkan penyelarasan aktiviti-aktiviti pembangunan kawasan seperti pembersihan kawasan, pengurusan tanaman, pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengangkutan dan pemasaran dilaksanakan.

Dengan kerjasama kerajaan pusat, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan swasta berkaitan, tanah-tanah yang terbiar boleh dimanfaatkan dengan penanaman durian.

Jabatan Pertanian juga membantu meningkatkan pengeluaran benih tanaman tulen dan berkualiti melalui insentif bantuan naik taraf infrastruktur nurseri benih sedia ada serta pengeluaran benih di stesen-stesen Jabatan Pertanian dan usahawan yang terlibat.

Melalui program Pemerkasaan Teknologi pula, Jabatan Pertanian akan menaiktaraf pusat-pusat jualan benih dan pusat pemprosesan durian.

Selain itu, jabatan akan melatih belia-belia yang berkelayakan sebagai pelapis pakar pencantum dewasa pokok durian melalui program Farmers Field School. Usaha ini dilihat dapat membuka peluang kerjaya kepada belia yang terlibat.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Pertanian juga akan mengadakan aktiviti pengembangan melalui promosi dan program jelajah di seluruh negara bagi menguar-uarkan projek-projek berkaitan pembangunan tanaman durian yang dirancang agar mendapat penglibatan menyeluruh daripada semua peringkat di dalam industri ini.

Bagi menjaga kualiti dan pengukuhan aktiviti pengeksportan durian di luar negara, keperluan elemen traceability durian akan dibangunkan.

Pengenalpastian varieti durian dan lokasi pengeluaran durian yang dieksport akan dapat memastikan kualiti produk keluaran negara ini akan lebih terjamin.

Diharapkan dengan kerancakan pembangunan industri durian sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara serta pasaran yang amat baik, ini akan dapat memberi pulangan yang lumayan kepada pengusaha serta dapat menjadikan durian sebagai komoditi utama eksport negara pada masa depan.