Cantik, unik dan menarik untuk diamati terutamanya bagi para pencinta seni. Walaupun ringkas tetapi ia merupakan sebuah lukisan yang dipenuhi makna.

Saat didekati, lukisan Penghuni Distopia: Alpha milik Raja Azeem Idzham Raja Azaham atau nama penanya Ajim itu penuh dengan falsafah seni yang lebih kepada tentang manusia menuju ke persekitaran Distopia pada masa hadapan.

Siapa sangka, sebuah lukisan yang penuh makna itu merupakan hasil tangan seorang pemuda yang memegang kelulusan Ijazah Sains Arkitek, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

“Karya-karya ini seperti satu cadangan dan spekulasi tentang kita sebagai penghuni Distopia.

“Warna hitam ini menggambarkan mood yang sedang dialami oleh artis dan ia berkait dengan konsep Distopia,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pameran Seni Antarabangsa ke-12 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, baru-baru ini.

Pameran tersebut dianjurkan oleh Ekspo Seni Malaysia (AEM) bagi meraikan penganjuran edisi ke-12 pada tahun ini, sekali gus menjadi pameran seni antarabangsa paling lama di Asia Tenggara.

Distopia merujuk kepada dunia imaginasi yang menakutkan dan bukan kehendak manusia, manakala Distopian merupakan masyarakat Distoptia.

Tambah Ajim, batu-batu simen yang kecil berwarna hitam berada di bawah lukisan itu menggambar bangunan-bangunan yang dibina oleh manusia tanpa mengambil kira persekitaran sosial.

Manusia kini gah dengan pembangunan tanpa mengira soal alam semula jadi.

Mesej

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, idea untuk membuat lukisan itu daripada pengalaman dan pembacaan.

Jelasnya, dalam lukisan itu juga membawa mesej isu semasa dan imaginasi tentang masa hadapan.

Ajim memberitahu, dia menggunakan cat jenis akrilik untuk karya Penghuni Distopia: Alpha kerana ia nampak lebih menarik.

“Subjek yang saya gunakan adalah elemen abstrak figuratif dan ditambah dengan elemen futuristik,” jelasnya.

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang lukisan, Ajim telah terlibat lebih 100 pameran.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menjelaskan, dalam penghasilan karya dia amat menitikberatkan tentang perasaan, komposisi dan mesej yang hendak disampaikan.

“Untuk mendapatkan ketiga-tiga itu memerlukan kesabaran yang tinggi semasa melukis.

“Sebab itu, saya mengambil tempoh dalam seminggu untuk siapkan lukisan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ajim berkata, dia akan membuat pameran solo pada bulan hadapan yang menampilkan karya berbeza tetapi tema sama di Bangunan Persatuan Arkitek Malaysia, Jalan Tandok, Bangsar.