Pernah juga wanita tersebut ditegur rakan sepejabat kerana tudung bawal yang digayakannya senget walaupun sudah disematkan lebih tiga pin di kepala. Kegusaran Asri Kusetianingrum atau lebih mesra dengan panggilan Asri tentang pemakaian tudung mencapai kemuncak apabila dia bersama lebih empat rakan karibnya yang lain merancang untuk melawat ke beberapa negara di Eropah Tengah.

Baginya, dia perlu mencari tudung yang praktikal untuk digayakan dan tidak mendatangkan ketidakselesaan kepadanya sepanjang percutian.

Dalam usahanya untuk mendapatkan tudung yang diingini, fikirannya teringatkan rakan sepejabatnya, Syahfeeza Yaacob, 34.

Obses

“Bercakap tentang tudung yang cantik dan kemas, automatik fikiran teringatkan Syahfeeza yang sentiasa kelihatan bergaya dengan varian tudung pelbagai warna dan corak yang sangat cantik. Ada yang bermotifkan flora, abstrak malah cetakan unsur fauna seperti belang harimau.

“Paling menarik perhatian saya ketika itu, tudung yang dikenakan Syahfeeza kelihatan seperti selendang namun mempunyai pengeras yang membuatkan ia sentiasa kemas pada wajah. Sejak itulah, saya mula jatuh hati pada Bokitta,” kongsi Asri tentang detik awal obsesinya terhadap koleksi tudung jenama Bokitta sejak dua tahun lalu.

Memiliki hampir 100 helai tudung dari pelbagai koleksi dan siri keluaran jenama dari Beirut, Lebanon itu, Asri berkata, kecenderungan beliau terhadap Bokitta didorong rasa puas hati terhadap material dan jenama itu.

“Saya mula membeli tiga helai selendang segera Bokitta dengan bantuan Syahfeeza dan memakainya ketika percutian tersebut. Material sifonnya bukan sahaja berkualiti, sejuk serta selesa malah langsung tidak berkedut.

“Sejak itu, saya sentiasa mengikuti perkembangan jenama ini dan hampir tidak pernah gagal mendapatkan koleksi baharunya setiap bulan,” jelasnya ketika ditemui di ibu pejabat Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.

Antara koleksi signatur Bokitta yang paling digemari Asri ialah lima siri daripada koleksi Rose Obsession berharga RM129 setiap satu.

Sementara itu, Syahfeeza yang berkongsi minat mengumpul tudung yang sama berkata, dia tidak pernah merasakan hobi tersebut sebagai satu pembaziran.

Terapi

Sebaliknya, dia yang memiliki lebih 300 koleksi Bokitta menganggap ia sebagai satu terapi kepada seorang wanita.

“Mungkin nampak klise, tapi hobi mengumpul sesuatu benda yang kita suka ini sebenarnya sangat membantu menguruskan tekanan penat bekerja dan sebagainya. Apabila membeli sesuatu yang kita sukai, ia bagaikan satu ganjaran untuk diri sendiri sekali gus membuatkan kita lebih bersemangat.

“Selain itu, ia juga tidak merugikan kerana tudung berjenama ini mempunyai peminatnya tersendiri. Daripada bertukar-tukar info tentang koleksi baharu dan sebagainya, akan berlaku urusan jual beli yang akhirnya menguntungkan pengumpul sendiri,” cerita ibu kepada dua orang anak ini.

Tambahnya, jumlah pengumpul Bokitta dari Malaysia di Facebook secara umumnya telah mencapai hampir 31,000 ahli keseluruhan.

Bilangan yang besar sebegitu membolehkan ahli bertukar-tukar pandangan tentang kecenderungan mereka terhadap sesuatu koleksi terutamanya corak tertentu.

“Dari situ, mereka yang meminati koleksi lama atau baharu akan mempamerkan tudung yang dimiliki untuk ditawarkan. Kebiasaannya, paling mendapat perhatian ialah koleksi lama yang tidak lagi dikeluarkan kini.

“Saya sendiri baru-baru ini berjaya menjual sehelai tudung bercorak bunga kecil daripada koleksi dua tahun lalu pada harga bidaan tertinggi RM1,200.

“Justeru, minat sebegini tidak boleh dianggap membazir, sebaliknya merupakan satu hobi yang bermanfaat,” ujarnya.