Manisan lazat dan dibakar dengan sempurna itu dihasilkan dengan kombinasi roti mentega, sos vanila, kepingan biskut coklat yang telah dihancurkan selain dihiasi kismis manis, cukup sesuai sebagai pencuci mulut. Lebih-lebih lagi selepas menikmati rangkaian piza daripada Domino’s.

Pencuci mulut klasik British itu menjadi kegemaran ramai kerana membawakan rasa manis yang menyelerakan, ditambah dengan tekstur lembut, pastinya menambat selera pembeli.

Naib Presiden Kanan Pemasaran Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Linda Hassan berkata, manisan terbaharu itu dibuat dengan penuh kasih sayang khusus untuk pelanggan mereka.

“Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Bagi kami, sekali sudah mencuba hidangan ini, pasti pelanggan akan kembali lagi. Menghasilkan puding roti mentega butterscotch ini, ia sedikit sebanyak memperlihatkan penekanan sentuhan klasik kerana gaya itu tidak pernah ditelan zaman.

“Segalanya bermula selepas kami melihat kecenderungan pelanggan kami sendiri yang saban hari menjadi inspirasi untuk kami mencipta resepi-resepi baharu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Hadiah eksklusif

Produk itu dilancarkan ketika tayangan filem aksi adiwira, Aquaman bertempat di TGV One Utama, Damansara, Selangor baru-baru ini. Berpaksikan jenama Domino’s sendiri iaitu Segalanya Mengenai Anda, produk itu mendapat sambutan yang cukup hebat daripada tetamu yang hadir.

Antara yang hadir adalah pelanggan eksklusif Domino’s, peminat piza, rakan niaga dan wakil-wakil media seluruh negara yang mana mereka semua telah menjadi tunggak perkembangan Domino’s selama ini.

Hasil sokongan yang diterima selama ini, Domino’s komited untuk menawarkan perkhidmatan dan produk baharu yang menarik seiring dengan kecenderungan, kemahuan dan keperluan pelanggan.

“Selain mencipta produk baharu, kami membawa pelancaran produk ini ke tahap yang baharu dengan memberikan mereka pengalaman istimewa. Ia juga menjadi kenangan buat mereka kerana menjadi orang pertama mendapat peluang mencuba resepi baharu itu.

“Ini adalah tanda penghargaan dan hadiah eksklusif kami kepada mereka yang menyokong selama ini. Kami berharap semua peminat Domino’s seronok dapat menikmati puding baharu itu bersama rakan-rakan dan keluarga tersayang,” kongsi Linda.

Puding roti mentega butterscotch boleh didapati hanya untuk tempoh terhad pada harga pengenalan RM9.90 setiap satu.