Pertama kali dilancarkan di Singapura pada tahun 2018, District merupakan platform perintis yang menggunakan teknologi untuk menggalakkan orang ramai menjalani gaya hidup sihat dan aktif.

District menawarkan pengalaman yang menyeronokkan apabila mereka melakukan aktiviti eksplorasi bandar melalui aplikasi District Race.

Ketua Pegawai Eksekutif District Technologies, Ben Pember berkata, setelah berjaya mencatat kejayaan dalam penganjuran District Race di Hong Kong dan Singapura, pihaknya amat teruja untuk memperkenalkan District Race di Malaysia pula.

“Dengan menawarkan sebuah pengalaman baharu dalam aktiviti eksplorasi bandar kepada rakyat Malaysia, kami berharap dapat menggalakkan gaya hidup aktif dan pada masa yang sama menyemai rasa penghargaan yang lebih mendalam terhadap bandar mereka sendiri.

“District Race direka sesuai bagi setiap individu dan kami percaya, ia merupakan permulaan yang baik dalam menyuntik motivasi orang ramai untuk meneroka semula keindahan serta keunikan bandar mereka,” katanya pada majlis pelancaran District Race anjuran AIA Vitality di Hotel The Strips, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Heng Zee Wang berkata, mengekalkan rejim senaman yang tetap dan mengamalkan gaya hidup aktif sememangnya satu cabaran buat generasi masa kini.

“Komitmen terhadap kerjaya dan keluarga, di samping tempoh perjalanan yang lama sering menjadi halangan untuk kita mengekalkan gaya hidup yang sihat. Oleh itu, AIA berbesar hati membawa District Race ke Malaysia buat pertama kalinya.

“Kami berharap acara ini dapat menjadi sebuah platform yang membolehkan rakyat Malaysia mengeksplorasi bandar mereka dengan cara baharu bersama keluarga serta rakan-rakan,” ujarnya.

Teknologi permainan

Aplikasi District Race adalah sebuah platform yang menggunakan teknologi berteraskan permainan untuk memberi pengalaman mengagumkan kepada pengguna dalam usaha menyuntik nafas baharu terhadap aktiviti larian dan eksplorasi bandar.

Dengan menggabungkan kecanggihan teknologi berasaskan pengesanan lokasi dan augmentasi realiti (AR), aplikasi District Race membawa pengguna menjelajah bandar mereka dalam sebuah perlumbaan yang menakjubkan.

Acara perlumbaan utama akan diadakan pada 3 November depan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan tiket berharga antara RM60 hingga RM130. Aplikasi District boleh dimuat turun melalui Play Store dan Google Play.