Bagaimanapun, isyarat tersebut kini melangkah ke era baharu apabila generasi kelima teknologi itu sudah pun bersedia untuk diperkenalkan.

Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) baru-baru ini melakukan persiapan dengan menjalankan demonstrasi terhadap rangkaian teknologi mudah alih generasi kelima (5G).

Ia bakal diperkenalkan sempena Pameran 5G Malaysia pada 18 hingga 21 April 2019 bertempat di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Menerusi ujian kelajuan yang dilakukan, Digi mencatatkan kelajuan data yang lebih cepat dan kapasiti rangkaian yang lebih besar dengan kelajuan transmisi sehingga 1.6 gigabit sesaat (Gbps) pada rangkaian 5G spektrum 100 megahertz (MHz).

Ujian rangkaian 5G yang dilakukan oleh Digi itu selari dengan perkembangan industri yang mula mengorak langkah dengan menghebahkan kelebihan dan impak 5G di pameran yang diadakan.

Selain itu, ia juga bertujuan memperkenalkan keupayaan teknologi tersebut kepada orang awam.

Dengan kelajuan yang sangat tinggi, kadar kependaman (latensi) yang rendah dan kepelbagaian rangkaian, 5G berpotensi menghubungkan berjuta-juta peranti, membina perkhidmatan baharu dan menyokong penggunaan aplikasi secara lebih meluas yang dapat memberi kesan terhadap operasi perniagaan dan kerajaan serta aktiviti harian pengguna.

Pada pameran tersebut, Digi akan memaparkan tiga situasi yang mengaplikasi 5G meliputi bidang Perkhidmatan Kecemasan, Pendidikan dan e-sukan, di samping memberi gambaran akan kelebihan serta impak 5G terhadap infrastruktur awam, perniagaan serta pengguna.

Potensi

Setiap aplikasi tersebut akan menunjukkan bagaimana 5G boleh membantu mempercepatkan masa tindak balas kecemasan semasa berlakunya kemalangan jalan raya, memperkaya sistem pendidikan dengan menggunakan teknologi agumentasi realiti dan memperkasa e-sukan dengan ciri permainan yang lancar menerusi teknologi realiti maya.

Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty berkata, pihaknya teruja untuk menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan masa depan Malaysia dengan 5G.

“Pada masa yang sama, kami akan terus memaksimumkan potensi rangkaian 4G Plus untuk mendigitalkan Malaysia.

“Kami percaya pendekatan Malaysia terhadap 5G adalah praktikal dan bersifat konsultatif bahkan kami akan memanfaatkan pembelajaran yang diperoleh bagi mempercepatkan proses penyelidikan serta adaptasi.

“Kami juga berharap dapat mengukuhkan kolaborasi antara sektor awam dan swasta dalam memacu masa hadapan Malaysia,” ujarnya ketika ditemui K2 di Putrajaya baru-baru ini.

Pameran 5G Malaysia yang bertemakan Progressing Humanity dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama syarikat komunikasi terkemuka serta institusi pengajian tinggi.

Pameran tersebut akan dibuka kepada orang awam pada 20 dan 21 April ini di Kompleks Perbadanan Putrajaya dan pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri potensi peneraju dalam teknologi telekomunikasi.

Turut hadir, Ketua Penyelidik Telenor, Bjørn Taale Sandberg yang akan berkongsi mengenai pandangan global tentang keupayaan 5G dalam melonjakkan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), Internet Saling Berhubung (IoT) dan penerokaan kolektif teknologi itu yang mempunyai potensi besar untuk mengubah kehidupan manusia melangkaui Industri 4.0.