Sudahnya, kegiatan berbasikal sebagai hobi sementara sebelum membiarkan basikal milik mereka tersadai di rumah tanpa digunakan sehingga lama-kelamaan menjadi besi buruk.

Pengasas The Basikal, Akmal Azfar Abd. Mutalib berkata, ada juga yang sanggup berbelanja besar demi mendapatkan basikal idaman dengan reka bentuk canggih, ringan dan unik tanpa begitu memahami kesesuaian model basikal tersebut untuk diri mereka.

“Basikal yang dipilih perlu sesuai dengan kegunaan dan diri seseorang. Misalnya, mereka yang berat 100 kilogram tidak semestinya sesuai menaiki basikal ringan. Ada juga yang mahu spesifikasi tertentu seperti roda kecil dan pedal besar tanpa begitu memahami apa kepentingannya.

“Selain itu, ada juga yang mengamalkan teknik yang salah ketika mengayuh dan cepat penat. Ketika mengayuh, kaki perlu melakukan pusingan bulat dan bukannya menekan kuat pada pedal,” ujarnya kepada Kosmo! di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

The Basikal yang ditubuhkan 10 tahun lalu bukan sahaja bertindak seperti kedai dan bengkel basikal, malah turut menyediakan khidmat latihan membaiki basikal dan mendidik orang ramai untuk memanfaatkan penggunaan basikal dengan cara yang betul.

Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Sains Alam Sekitar itu menubuhkan The Basikal ketika masih menuntut di UPM dalam tahun 2 bertumpu kepada aktiviti menyewa, menyelenggara dan menjual basikal termasuk daripada jenama terkenal seperti Surly, Salsa dan All City.

Pupuk minat

Mendapat sokongan Yayasan AirAsia, Akmal Azfar, 28, turut melakukan khidmat sosial korporat dengan menjadi tenaga pengajar kepada kanak-kanak dan remaja kurang bernasib baik bagi memupuk minat mereka menjadi mekanik basikal profesional.

Menyimpan impian melihat berbasikal menjadi budaya warga kota Kuala Lumpur beliau turut bekerjasama dengan rumah perlindungan kanak-kanak dengan menyasarkan golongan berusia 12 hingga 18 tahun untuk mengikuti program latihan anjurannya.

Baru-baru ini, anak kelahiran Segamat, Johor tetapi dibesarkan di Sungai Buloh dan Semenyih, Selangor itu turut terlibat melatih sukarelawan Majlis Kanser Negara (Makna) untuk memperbaiki basikal terpakai untuk diserahkan kepada pesakit kanser.

Jurucakap sukarelawan Makna dalam program tersebut, Nurtasya Aqilah Mustafa berkata, pihaknya berharap usaha itu dapat membantu pesakit kanser terutama bagi mereka yang memerlukan basikal sebagai mod pengangkutan.

“Menerusi projek Recycle Give Cycle itu kami mempromosikan amalan kitar semula basikal yang tersadai. Namun, ia bukan merupakan platform pembuangan basikal.

“Dalam hal ini, kami memerlukan basikal yang tidak memerlukan kerosakan major dan belajar membaiki kerosakan kecil basikal seperti menukar tiub tayar, rantai dan brek.

“Alhamdulillah... kami dapat mengumpul 12 buah basikal terpakai untuk disumbangkan dan dapat meneroka kemahiran baharu menyelenggara basikal dan memastikan ia berada dalam keadaan baik sebelum diserahkan kepada penerima,” kongsinya.