Bagaimanapun, ia kini dilihat menjadi trend yang diterima secara meluas bukan sahaja menghiasi sesuatu ruang dalam rumah malah premis-premis perniagaan.

D’PALLET Place yang terletak di Jalan Hulu Langat, Taman Kemacahaya, Batu 9, Cheras, Selangor tidak terkecuali memperkenal dan memperkasa trend tersebut apabila ia mula dibuka sekitar Februari 2016.

Kata pengasasnya, Azhan Mustafa, 41, idea tersebut mula timbul setelah ramai rakannya yang menunggang motosikal berkuasa besar kerap berkunjung ke luar negara seperti Phuket dan Pattaya, Thailand.

“Di sana, konsep gerai makanan yang bertemakan kayu palet ini sudah banyak namun, di Malaysia ketika itu masih wujud lagi.

“Daripada situ, kami mengambil idea tersebut dan membawakan konsep medan selera dengan dekorasi kayu palet ke Malaysia dan Alhamdulillah sehingga kini semakin ramai yang berkunjung saban hari,” ujar pemuda kelahiran Terengganu itu.

Menurut Azhan, idea, struktur dan dekorasi D’PALLET Place semuanya dihasilkan menggunakan kayu palet.

Dari segi model perniagaan, D’PALLET Place pada awalnya beroperasi tidak ubah seperti medan selera lain.

Pelanggan perlu beratur dulu dan tunggu sehingga makanan siap disediakan barulah boleh duduk di meja.

Model baharu

Setelah menilai kelebihan dan kekurangan model perniagaan tersebut, Azhan tampil dengan model baharu.

Pelanggan perlu memesan hidangan di gerai yang diinginkan dan kemudian peniaga sendiri akan menghantar makanan tersebut ke meja pelanggan.

Menariknya, pelanggan boleh merasai pengalaman gastronomi secara langsung melihat makanan itu disediakan di gerai-gerai yang ditawarkan di D’PALLET Place.

D’PALLET Place yang menghimpunkan kira-kira 19 gerai itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kawasan berbumbung dan terbuka.

Gerai-gerai makanan tersebut menawarkan pelbagai jenis sajian gastronomi antaranya variasi makanan laut, Barat, aneka pasta, kopi Manshor dan nasi Arab.

Menariknya, bagi menjadikan pengalaman gastronomi pelanggan itu lebih unik, D’PALLET Place turut membawakan maskot bagi memeriahkan premis tersebut.

Selain menjamu selera, D’PALLET Place yang mampu memuatkan 300 pengunjung pada satu-satu masa itu turut menawarkan kepada pelanggan kedai gunting rambut dan gerai durian.

“Kawasan berkeluasan 900 meter persegi ini sesuai menjadi destinasi berkumpul bagi keluarga, korporat, mahupun majlis keraian seperti hari lahir dan sebagainya.

“Kami juga menyediakan enam meja bersila untuk pelanggan duduk di bawah, dua skrin layar, kawasan parkir yang luas selain dimeriahkan dengan persembahan busker maka, tiada alasan lagi untuk tidak datang ke sini,” kongsinya.