Tidak mahu hanya bersandarkan kepada beg galas bahu atau shoulder bag sebagai produk utama, Dekade yang mengetengahkan konsep sistem modular turut dilengkapi dengan beberapa komponen lain.

Antaranya, pemegang kad bertali pelbagai guna, tali pinggang modular, beg lensa kamera, dompet kad memori dan kain selimut kamera.

Dicetuskan oleh sekumpulan individu yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam lapangan fotografi, Syaiful Redzuan Md. Noor, 36, Adli Ghazali, 34, dan Supian Ahmad, 38, optimis rekaan mereka mampu memenuhi keperluan jurugambar yang berdepan dengan pelbagai bentuk tugasan.

“Kami bertiga mula bercerita tentang Dekade sejak tahun lalu. Ia bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi selepas mengambil kira beberapa aspek penting yang perlu ada dalam pembuatan produk terutamanya material yang hendak digunakan.

Ketahanan

“Kerjaya sebagai seorang jurugambar amat lasak dan mereka bertugas di pelbagai lapangan yang menuntut ketahanan produk untuk melindungi peralatan yang dimuatkan serta tidak mudah rosak.

“Setelah mengambil kira semua aspek, kami akhirnya sepakat menjalankan proses pembuatan Dekade di sebuah negara jiran bermula awal tahun ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mula menjengah pasaran secara rasminya secara online pada Mac lalu, kemunculan Dekade ternyata mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan jurugambar, wartawan dan masyarakat umum.

Tidak hanya menerima permintaan dari dalam negara, Dekade turut berjaya dipasarkan di beberapa buah negara termasuk Singapura, Brunei, Bulgaria dan Sarajevo.

Menggunakan material gred industri, Dekade yang bertemakan Classic is Now mengekalkan rekaan yang ringkas dan klasik bagi memudahkan pelanggan mereka.

“Kami tidak mahu rekaan yang keterlaluan sehingga menyukarkan ia untuk digunakan. Tugasan sebagai jurugambar memerlukan produk yang mesra pengguna.

“Bagi menampakkan ia lebih klasik, kami sepakat memilih warna hitam sebagai warna selamat. Rona biru gelap turut dikeluarkan dalam penghasilan terkini, namun terhad kepada beg galas sahaja,” katanya.

Mengakui wujudnya persaingan dengan produk lain, Dekade mengambil pendekatan dengan menawarkan harga yang berpatutan dan mampu milik.

Pengguna boleh memiliki produk Dekade secara berasingan pada harga jualan antara RM35 sehingga RM450.

“Selepas sembilan bulan dipasarkan, sambutan yang diterima sangat baik dan sudah tentu kami mahu mempelbagaikan lagi Dekade dengan beberapa lagi siri produk.

“Kami kini sedang merancang untuk menghasilkan beg komputer riba dan beg galas belakang yang mungkin dipasarkan bermula tahun depan,” jelasnya.