Ketika memasak di atas gunung, Muhammad Syukri, 28, mengolah beberapa bahan dalam masakannya yang memberikan kelainan rasa dan keistimewaan tersendiri.

Ternyata, kreativiti dalam masakannya itu mendapat pujian setiap peserta ekspedisi gunung tersebut.

Ayam goyang Bali

“Sejak itu, saya serius memasak menggunakan resipi olahan sendiri lantas mengambil keputusan untuk membuka restoran Lokal Resto.

“Restoran ini menghidangkan menu cita rasa Melayu seperti ayam berempah, sup kambing, daging salai, ayam goyang Bali dan ayam sambal meletup,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Lokal Resto yang terletak di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Muhammad Syukri dibantu oleh isterinya, Nurliyana Jamaludin, 26, serta tiga orang kakitangan.

Antara menu yang paling mendapat sambutan ialah ayam goyang Bali dan ayam sambal meletup.

Menurut pemuda yang berasal dari Ampang, Selangor itu, dia memasak sambal menggunakan campuran pelbagai jenis cili dan bawang bagi membangkitkan aroma.

Dia mengambil masa selama lima hingga enam jam untuk memasak sambal tersebut dan lebih menarik lagi, kesemua menu di restoran itu hanya menggunakan bahan-bahan semula jadi dan bebas monosodium glutamate (MSG).

Dalam sehari, dia menyediakan 15 ekor ayam bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Pencuci mulut

“Selain itu, kami turut menyediakan menu pencuci mulut seperti roti bakar aiskrim dan roti bakar telur goyang yang menggunakan roti benggali.

“Kerangupan roti bakar itu sangat sesuai dengan kombinasi keenakan aiskrim bagi memberikan kelainan rasa dalam menikmati juadah tersebut,” terang pemegang Diploma Pengurusan Pelancongan di Kolej Universiti Islam Melaka.

Harga bagi setiap menu bermula dari RM7 hingga RM13 manakala minuman pula serendah RM5.

Muhammad Syukri sangat mementingkan keselesaan pelanggan dan dia menetapkan peraturan tidak dibenarkan merokok di dalam premis tersebut.

Premis itu yang boleh memuatkan sekitar 40 orang pelanggan pada satu-satu masa mengetengahkan hiasan dalaman berkonsep era 80-an dan 90-an bagi menggamit kenangan sewaktu kecil.

Kelihatan alat permainan popular era 80-an dan 90-an seperti gasing, lastik serta papan tikam disusun kemas di dalam restoran tersebut.

Dia yang juga peminat barangan antik turut meletakkan barangan seperti mesin jahit Singer dan filem Kodak untuk dijadikan sebahagian daripada hiasan dalaman restoran itu.

Di setiap meja pula ditampal nama jalan yang diambil sempena nama tokoh pahlawan tanah air seperti Tok Janggut dan Mat Kilau.

Lokal Resto beroperasi seawal pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang pada setiap hari Isnin dan Jumaat manakala hari Sabtu dan Ahad ditutup.

Pada masa akan datang, pihaknya bercadang untuk menambah menu seperti ikan, daging dan kambing bakar.