Telah beroperasi lebih 35 tahun di situ, kedai itu menghidangkan nasi kandar Melayu kepada para pelanggannya.

Kini, bagi mereka yang tinggal di ibu kota dan ingin merasai keistimewaan rasa nasi kandar Melayu boleh mencubanya di Putrajaya.

Pemiliknya, Muhammad Firdaus Mohd. Azlan, 28, berkata, dia mengambil keputusan untuk membuka cawangan itu di luar daripada Kedah setelah mendapat permintaan daripada para pelanggannya.

Rasa sama

Jelasnya, perniagaan itu telah lama diusahakan oleh bapanya di Alor Setar dan generasi kedua yang sebelum ini sering dibawa oleh bapa dan ibu mereka meminta cawangan dibuka di sekitar Lembah Klang.

“Kebanyakan generasi kedua ini telah berhijrah ke Lembah Klang dan kadangkala mereka teringin untuk menikmati nasi kandar Melayu ini.

“Atas permintaan, akhirnya telah mendorong saya untuk membuka cawangan ini dengan menggunakan nama Nasi Lan Kedah di Putrajaya,” katanya.

Tambahnya, untuk cawangan di Putrajaya, ia sudah beroperasi sejak bulan Mac tahun lalu.

Sebelum ini, Firdaus membuka cawangan pertama Nasi Lan Kedah di Shah Alam, Selangor pada tahun 2015.

Melihat kepada sambutan baik yang diberikan, dia mengambil keputusan untuk membuka cawangan kedua di Putrajaya.

Dalam pada itu, Firdaus menjanjikan rasa lauk pauk yang dihidangkan sama seperti yang ada di Alor Setar.

Rempah-ratus yang digunakan dibawa ke Putrajaya untuk menyediakan lauk-pauk agar rasanya sama.

Tukang masak menimbang sukatan rempah agar rasanya kekal sama.

Sementara itu, Firdaus menjelaskan, lebih 20 lauk boleh dipilih oleh pelanggan yang mahu menikmati hidangan nasi kandar Melayu di Presint 15, Putrajaya.

Antara lauk-pauk yang disediakan termasuklah daging masak hitam, ayam madu, telur sotong, ayam goreng dan sotong kembang.

“Sotong kembang masak sambal adalah juadah istimewa turun-temurun keluarga saya dan hidangan itu sering juga menjadi pilihan pengunjung.

“Antara juadah lain yang menjadi pilihan pengunjung adalah daging masak hitam, sotong masak sambal serta telur sotong,” katanya.

Cawangan baharu

Tambahnya, apa yang lebih istimewa adalah nasi minyak kuning yang terdapat di situ.

Dengan gabungan kuah campur di atas nasi minyak kuning, ia akan memberi rasa yang cukup enak.

Dalam pada itu, untuk membolehkan pelanggannya membuat pilihan dengan cepat, Firdaus juga menyediakan beberapa set pilihan nasi.

Antaranya set nasi bersama ayam goreng dan sayur, nasi bersama sotong, telur ikan dan sayur. Harga untuk hidangan bermula pada harga serendah RM5.

Untuk hidangan sotong masak sambal, ia dijual pada harga bermula RM8 untuk seekor dan bergantung kepada saiz.

Sementara itu, melihat kepada sambutan yang diberikan kepada dua cawangan Nasi Lan Kedah di Shah Alam dan Putrajaya begitu menggalakkan, Firdaus bakal membuka sebuah lagi cawangan baharu pada bulan Mac ini.

Cawangan itu akan dibuka di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.