Misi dahmakan yang dilancarkan sejak 2015 adalah untuk membawa pengalaman penghantaran makanan harian yang murah dan mudah kepada individu-individu yang sibuk di Kuala Lumpur. Di dahmakan, kombinasi cef tempatan terkenal, sistem logistik berkuasa teknologi dan pengalaman tempahan mudah telah memudahkan proses mendapatkan hidangan yang lazat berbanding sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama dahmakan, Jonathan Weins mengucapkan terima kasih ke atas para pelanggannya.

“Hari ini, kami meraikan pesanan kesejuta dan kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang telah mempercayai kami untuk menghantarkan makanan kepada mereka dan yang tersayang.

“Terima kasih kerana telah membantu membentuk kejayaan kami hari ini dan kami berjanji akan terus menceriakan serta menyajikan lebih hidangan pada masa akan datang,” kata Weins dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Menurutnya, pesanan kesejuta itu ialah pesanan daripada seorang wanita berusia 31 tahun yang bertugas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Wanita yang hanya dikenali sebagai Sarah itu merupakan pelanggan setianya sejak 2016.

Untuk meraikan peristiwa itu, pihak dahmakan telah bertemu Sarah dan menghidangkannya menu ayam mentega salted egg di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rangkaian hidangan

“Saya suka dahmakan, mereka menyajikan masakan klasik Malaysia yang sangat lazat dengan satu kelainan. Ia mengingatkan saya kepada sajian masakan nenek saya ketika saya membesar.

“Pada hari yang penuh tekanan dan sibuk, mengetahui sajian dahmakan saya sedang dalam perjalanan sememangnya melegakan,” ujarnya yang merupakan penggemar menu nasi lemak sambal strawberi.

Sementara itu, bertitik tolak daripada kejayaan tersebut, dahmakan baru-baru ini turut mengumumkan akan memanjangkan tempoh melayani pelanggan dengan penghantaran bermula lebih awal iaitu seawal pukul 9.15 pagi, manakala penghantaran terakhir pada pukul 10.30 malam, selain memperkenalkan rangkaian hidangan baharunya yang terdiri daripada Premium, Popular, Healthy dan Promo.

“Kita semua ingin menikmati hidangan yang berbeza pada waktu yang berbeza dalam sehari. Jadi sekarang, terdapat pilihan untuk semua orang, sepanjang hari, setiap hari,” tambah kenyataan itu.

Dengan pengenalan rangkaian baharu itu, dahmakan turut memperkenalkan hidangan baharu termasuk mi daging lembu Vietnam, stew ayam herba, dada ayam panggang, kentang manis lenyek dan daging lembu ragu fettuccine sambil mengekalkan menu kegemaran popular seperti nasi lemak sambal strawberi dan ayam mentega salted egg yang lazimnya laris.

Untuk menikmati kepelbagaian pilihan hindangan, sila layari dahmakan hari ini di https://dahmakan.com/menu.