Perniagaan yang diusahakan sejak April tahun lalu itu menerapkan konsep santai dan menawarkan harga berpatutan untuk lebih 50 menunya.

Justeru, Burger O’ Myy sepatutnya menjadi salah satu senarai lokasi yang harus dikunjungi jika anda ke Kuching, Sarawak.

Terletak di Lorong Samarindah Baru 13, Kota Samarahan, Sarawak, Burger O’Myy yang mula beroperasi dari pukul 4 hingga 11 malam setiap Isnin hingga Sabtu itu menjanjikan hidangan Barat dan Melayu pada harga yang tidak masuk akal.

Razif berkata, tujuannya membuka restoran itu adalah mahu bersedekah dengan memastikan pengunjung-pengunjung terutamanya golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) boleh menikmati pelbagai hidangan yang ditawarkan meskipun hanya mempunyai RM15 dalam dompet.

“Memang ini konsep yang saya bawa iaitu mahu mengajak orang datang makan pada harga berpatutan, malah boleh berjimat kerana saiz makanan serta minuman yang dihidangkan berbaloi untuk dikongsi.

“Misalnya, pengunjung yang datang berdua boleh memilih dua makanan Melayu seperti variasi nasi goreng dan mi goreng bersama satu teh ais gelas besar dengan jumlah kedua-duanya sekitar RM13 ke RM15,” katanya ketika ditemui Kosmo! di restorannya baru-baru ini.

Razif memberitahu, Burger O’Myy ini dibuka berdasarkan kepada pengalamannya menjual burger sejak berusia tujuh tahun di Miri sebelum berpindah ke Kuching pada tahun 2013.

Saiz besar

Sekitar lima tahun lalu, dia meneruskan perniagaan menjual burger bersaiz besar di Tebingan Sungai, Kuching sebelum diarahkan tutup.

Bagaimanapun, dia membuka restoran pada kapasiti lebih besar di lokasi sekarang.

“Alhamdulillah, sejak setahun lebih beroperasi, Burger O’ Myy semakin mendapat perhatian terutamanya golongan pelajar IPT. Ini kerana jaraknya yang dekat, malah ada juga pengunjung yang datang dari Kuching selepas restoran ini viral di Facebook,” ujarnya.

Burger O’ Myy menawarkan lebih 28 jenis burger. Menu-menu tersebut adalah hasil buatan sendiri yang dipelajarinya menerusi YouTube.

Selain itu, pihaknya juga menawarkan hidangan Barat seperti chicken chop, lamb chop termasuk variasi makanan Melayu.

Antara menu yang menjadi pilihan pengunjung ialah chicken chop rice, meerier combo burger iaitu burger yang digabungkan bersama sate, kuah kacang dan nasi impit serta set O’ Myy Combo iaitu burger daging tiga tingkat.

Paling istimewa, Burger O’ Myy turut menawarkan burger daging rusa segar yang didatangkan khas dari Miri setiap minggu menerusi seorang pembekal.

“Burger daging rusa memang agak sukar diperoleh tetapi ia menjadi antara pilihan pengunjung kerana rasanya yang lembut dan juicy kerana dikukus sebelum dipanggang bagi mengekalkan rasanya.

“Kesemua menu ini ditawarkan pada harga belasan ringgit dengan saiz yang agak besar dan cukup untuk mengenyangkan perut pelanggan,” jelasnya.

Kepelbagaian sajian minuman juga mencuri tumpuan pengunjung kerana ia didatangkan dalam pelbagai saiz pada harga antara RM3 sehingga RM9.

Burger O’ Myy turut menyediakan perkhidmatan penghantar pada jarak 10 kilometer dengan caj tambahan RM5.