Begitupun, menurut laporan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga suku kedua tahun ini, sebanyak 14.6 juta rakyat Malaysia telah mendaftar sebagai pengundi, manakala 3.7 juta lagi yang kebanyakannya golongan belia berusia 21 hingga 39 tahun masih belum berbuat demikian.

Menurut penganalisis politik, Prof. Madya Shamrahayu Abdul Aziz, rakyat yang tidak menjalankan tanggungjawab mendaftar mengundi bermakna tidak menggunakan haknya sebagai rakyat.

"Ia salah satu hak rakyat dalam negara demokrasi untuk memilih pemimpin. Rakyat yang menentukan pemerintahan dan semuanya adalah berbalik kepada rakyat.

"Ia hak yang juga merupakan tanggungjawab," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Shamrahayu berpendapat, situasi itu berlaku berikutan golongan muda pada hari ini berada dalam zon selesa dan lebih mengutamakan hala tuju hidup masing-masing.

Selain itu, baginya, pendedahan tentang dunia politik yang terlampau banyak terutamanya menerusi internet dan media sosial membuatkan mereka sudah hilang minat kepada politik dan kepentingannya.

"Mereka mungkin sibuk belajar dan bekerja untuk memperbaiki ekonomi diri serta keluarga. Golongan belia sekarang memang suka bercakap tentang politik, tetapi adakah mereka sudah mendaftar sebagai pengundi?" soalnya.

Jelasnya lagi, antara alasan yang diberikan oleh pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit ialah mereka tidak tahu cara pendaftaran, tidak tahu tempat mendaftar dan enggan terlibat dalam politik.

"Jumlah pelajar IPT di negara ini dianggarkan 1.3 juta orang. Ia cabaran buat pihak SPR untuk menarik mereka mendaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi.

Sokongan

"Pihak SPR harus berbincang dengan pihak universiti mengenai perkara ini, sebagai pelajar tentu sekali mereka mempunyai kekangan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi terutama yang perlu pulang ke kampung masing-masing pada hari pengundian," katanya.

Sementara itu, Exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia, Prof. Ahmad Ismail berkata, pihak parti-parti politik perlu memainkan peranan utama untuk menarik golongan belia mendaftar mengundi kerana mereka yang memerlukan sokongan.

"Media dan pihak SPR mungkin telah melakukan usaha-usaha menggalakkan orang ramai mendaftar pemilih, begitu juga parti-parti politik.

"Begitupun hakikatnya, parti-parti politik perlu berusaha lebih keras kerana mereka yang memerlukan undi itu sama ada untuk menang atau meningkatkan majoriti undi," katanya.

Tambah Ahmad lagi, orang ramai juga tidak seharusnya mendaftar pemilih pada saat-saat akhir kerana dibimbangi tidak sempat mengundi memandangkan satu tempoh diperlukan SPR untuk pewartaan senarai pemilih berdaftar.

Menurutnya, negara kita juga tidak menjadikan keluar mengundi sebagai kewajipan maka segalanya adalah bergantung kepada kesedaran warganegara itu sendiri.

"Mungkin ada sebilangan yang menganggap proses untuk mendaftar ini adalah satu proses yang leceh dan menyusahkan.

"Pandangan itu sebenarnya amatlah salah kerana proses pendaftaran hanya mengambil masa kurang dari lima minit.

"Berbekalkan kad pengenalan, anda hanya perlu ke pejabat pos, pejabat SPR atau pejabat pilihan raya negeri berdekatan," ujarnya.