Setiba di kawasan air terjun tujuh bidadari itu, pengunjung akan disambut dengan bunyi deruan air terjun yang menghempas ke batu sambil ditemani suasana alam yang nyaman serta tenang.

Kawasan pelancongan yang dibuka pada pertengahan tahun 2010 itu mempunyai tujuh air terjun yang melalui tiga tingkat batu.

Petani

Desa Keseneng yang menjadi lokasi air terjun itu memiliki keluasan kira-kira 228,252 hektar yang terdiri daripada tiga dusun dengan jumlah penduduk lebih 1,500 orang.

Kedudukan desa tersebut yang berada pada ketinggian 700 meter dari aras laut menyebabkan sebahagian besar penduduknya bekerja sebagai petani atau pesawah.

“Air terjun dan sungai adalah pemandangan biasa buat penduduk di sini kerana kami melihatnya setiap hari,” kata Setiausaha Kumpulan Pelancongan Desa Curug 7 Bidadari, Mursalim baru-baru ini.

Menurut Mursalim, pada awalnya penduduk setempat tidak menyangka air terjun itu boleh menjadi sumber pendapatan dan membawa perubahan kepada desa mereka.

Katanya, usaha penduduk memajukan kawasan desa mereka itu disokong oleh Pejabat Pelancongan Daerah Semarang yang memberi bantuan untuk menjadikan lokasi tersebut sebagai destinasi pelancongan.

Beliau turut memuji semangat dan usaha penduduk yang sebahagian besarnya hanya berkelulusan sekolah rendah kerana desa tersebut terpinggir dalam pendidikan.

“Hanya terdapat seorang pengurus kumpulan pelancongan desa yang berkelulusan sekolah menengah,” ujar Mursalim.

Usaha penduduk itu mendapat pengiktirafan apabila Desa Keseneng dipilih sebagai antara 10 desa pelancongan terbaik di Kabupaten Semarang.

Pengurus dan masyarakat setempat turut menawarkan pakej pelancongan untuk menarik lebih ramai pengunjung seperti bermalam di rumah penduduk yang dijadikan sebagai rumah inap.

Sejak ia dibuka lapan tahun lalu, kawasan tersebut menerima sehingga 3,000 pelancong sebulan.

Hasil daripada penjualan tiket, penduduk sepakat menggunakannya untuk program khidmat sosial, sumbangan anak-anak yatim, pembiayaan pembinaan masjid, pembinaan jambatan tambahan, gazebo dan kawasan tempat letak kenderaan pengunjung.

Mursalim memberitahu, sebuah desa atau destinasi pelancongan baharu boleh dianggap mendapat perhatian pelancong sekiranya jumlah pengunjung adalah stabil dalam tempoh lima tahun.

“Air terjun tujuh bidadari ini sudah melepasi tempoh itu dan kini adalah masa untuk mengembangkan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk di sini,” katanya.

Bagaimanapun, Mursalim mengakui masih ada perkara yang perlu dilakukan penduduk untuk menarik lebih ramai pengunjung ke air terjun yang terletak tidak jauh dari lokasi pelancongan Candi Gedong Songo itu.

Bagi perancangan jangka panjang, pengurus air terjun tersebut akan bekerjasama dengan pengusaha produk-produk pelancongan yang terdapat di sekitar desa berkenaan bagi memastikan Kabupaten Semarang menjadi lokasi utama pelancong.

Promosi

“Kami percaya kerjasama antara semua pihak adalah penting apatah lagi di sekitar kawasan ini terdapat banyak lokasi dan desa pelancongan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang aktivis pelancongan daripada Yayasan Salunding, Aryono turut melahirkan rasa kagum terhadap semangat penduduk membangunkan kawasan air terjun berkenaan.

“Usaha penduduk untuk memajukan diri mereka adalah luar biasa, ditambah pula dengan taraf pendidikan mereka yang tidak terlalu tinggi.

“Walaupun mendapat sokongan pihak luar, namun sekiranya tiada usaha keras daripada penduduk, perkara ini adalah mustahil terjadi,” ujarnya.

Dalam usaha mengembangkan pelancongan desa itu, Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Wilayah Jawa Tengah ketika ini sedang merancang untuk menggubal peraturan daerah mengenai Pemberdayaan Pelancongan Desa.

Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo menyokong draf peraturan itu sebagai salah satu usaha untuk mengembangkan potensi desa.

Menurut beliau, terdapat beberapa perkara dalam usaha memperkasakan pelancongan desa antaranya menggunakan kemudahan yang disediakan masyarakat tempatan, pembangunan produk pelancongan secara optimum serta membangunkan produk pelancongan yang berpotensi.

“Draf Pemberdayaan Pelancongan Desa sangat ditunggu-tunggu oleh masyarakat kerana ia menjadi platform untuk mengembangkan potensi pelancongan di setiap desa.

“Masyarakat setempat masih memerlukan bantuan sokongan untuk menyusun konsep pelancongan bagi merealisasikan Jawa Tengah sebagai wilayah kedua yang mempunyai produk pelancongan terbaik selepas Bali,” ujarnya.

Ganjar Pranowo kemudiannya meminta pengurus desa pelancongan untuk mempromosikan produk mereka melalui internet atau media sosial kerana ketika ini orang ramai lebih gemar mencari maklumat menggunakan medium tersebut.

Selain kos yang lebih murah katanya, promosi melalui media sosial juga dapat menyebarkan maklumat mengenai destinasi pelancongan secara lebih meluas.

“Setiap desa diminta membuat sekurang-kurangnya satu akaun media sosial untuk tujuan promosi,” ujarnya.