Lokasi berkenaan merupakan yang kelima seumpamanya di negara ini sejak dilaksanakan bermula tahun 2012 di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. Ia merupakan kolaborasi jangka masa panjang kedua-dua yayasan berkenaan dalam usaha menyediakan kemudahan awam kepada golongan kurang berkemampuan.

Menurut Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari, usaha itu selaras dengan perjuangan organisasinya yang menumpukan pembangunan golongan muda khususnya kanak-kanak dari pelbagai aspek.

“Kita menyasarkan untuk memberi impak jangka masa panjang dan mapan dalam pelbagai sudut bagi mencipta ruang bersukan yang selamat, mesra pengguna dan boleh diakses oleh rakyat Malaysia.

“Usaha ini bertujuan membantu golongan kurang upaya dan berkemampuan supaya mereka menjadi aktif dan boleh memberi inspirasi kepada komuniti melalui sukan dan aktiviti sihat,” katanya pada majlis perasmian Cruyff Court Felda Lurah Bilut di Bentong, Pahang pada 27 November lalu.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan para pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKi) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lurah Bilut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lurah Bilut.

Tambahnya, dalam perancangan jangka masa panjang, Yayasan Hasanah dan Johan Cruyff bakal meneruskan program ini bagi mencapai sasaran 20 gelanggang futsal awam di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Cruyff Courts, Ilja van Holsteijn memberitahu, selaras pembinaan Cruyff Courts di Lurah Bilut, pihaknya turut melancarkan Kursus Kepimpinan Cruyff Foundation bagi mendidik golongan muda berumur 21 tahun ke atas menjadi jurulatih futsal.

Menurutnya, program berkenaan bertujuan membantu golongan muda dengan menyerlahkan sifat kepimpinan sekali gus membimbing komuniti mereka dalam sukan futsal.

“Sasaran kami adalah untuk menarik lebih ramai golongan muda berkongsi manfaat Cruyff Court dan mendedahkan mereka dengan pelbagai aktiviti yang sihat serta membina.

“Pihak kami komited dalam usaha untuk memberikan kehidupan lebih baik kepada rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang merupakan generasi pelapis kepada barisan kepimpinan akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta program, Aizat Rudy berkata, program berkenaan bukan sahaja membantunya meningkatkan kemahiran dalam sukan dan kepimpinan tetapi turut memberi pemahaman berhubung peranan belia dalam komuniti.

“Program ini amat bermanfaat buat kami golongan belia yang memerlukan bimbingan dalam aspek kepimpinan serta membina hala tuju yang lebih baik.

“Kami juga dihubungkan dengan jaringan rakan di seluruh negara yang sekali gus membolehkan semua peserta untuk berkongsi pendapat dan bertukar pandangan berhubung ilmu kepimpinan,” jelasnya.